KANGAR, 11 April (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah Masjid Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang akan dibina bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini.
Turut berangkat pada majlis itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah majlis pecah tanah itu merupakan antara agenda utama sambutan Jubli Perak pada tahun ini bersempena 25 tahun pemerintahan baginda selaku Raja Perlis dan ulang tahun keputeraan baginda ke-82 tahun.
"Saya melihat ia sebagai satu penghormatan dan juga satu amanah untuk memastikan pembangunan spiritual dan fizikal umat Islam di negeri ini sentiasa terpelihara dan ditingkatkan," titah baginda pada majlis itu.
Raja Perlis bertitah baginda mengharapkan masjid berkenaan dapat menjadi simbol kemajuan ummah dan menjadi mercu tanda yang melambangkan kesungguhan Perlis dalam memartabatkan institusi agama Islam.
"Saya beranggapan pembinaan masjid ini sebagai satu daripada legasi pemerintahan saya, dengan saya amat menitikberatkan penekanan pembangunan jasmani dan rohani yang seimbang.
"Masjid ini juga diharapkan menjadi mercu kebanggaan rakyat negeri ini dan menjadi contoh dari segenap segi iaitu seni bina, pentadbiran, pengurusan dan pengimarahan. Ia hendaklah menjadi manifestasi kepada pegangan agama negeri iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri ini," titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah dengan tertubuhnya masjid di lokasi itu, ia dapat menampung jumlah pertambahan penduduk yang cepat meningkat di kawasan bandar Kangar selain dapat mempertaut hubungan antara pihak berkuasa dan pentadbiran negeri dengan masyarakat awam sekali gus menyumbang kepada keberkesanan dalam perkhidmatan kerajaan.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan usaha merangka pembinaan masjid ini," titah baginda.
-- BERNAMA