PERMATANG PAUH, 12 April (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM90,000 kepada sembilan masjid di kawasan Parlimen Permatang Pauh.
Beliau berkata setiap masjid menerima sumbangan RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.
Masjid yang menerima sumbangan berkenaan ialah Masjid Timah, Masjid Semilang, Masjid Pekan Permatang Pauh, Masjid Permatang Pasir, Masjid Kuala Mengkuang, Masjid Kubang Ulu dan Masjid Padang Ibu serta dua institusi agama, iaitu Madrasah Manbaul Anwar dan Surau Haji Yahya Sungai Sintuk.
Sim menyifatkan sumbangan itu sebagai sokongan terhadap peranan institusi masjid dalam memperkukuh komuniti setempat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia ialah satu kekuatan yang perlu dihargai dan dipelihara.
“Kita ada orang Cina, ada orang Melayu, orang India dan sebenarnya kepelbagaian itu kalau kita betul-betul hargainya dan kita bersatu padu, ia jadi satu kekuatan yang tidak ada di negara lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan di Masjid Timah, Seberang Jaya di sini hari ini.
Beliau berkata nilai perpaduan dan kefahaman antara kaum bukan sahaja mencerminkan jati diri rakyat Malaysia, malah turut menjadi faktor utama dalam menarik pelabur asing ke negara ini.
-- BERNAMA