AM

KPDN PULAU PINANG BONGKAR PENYELEWENGAN GAS LPG, SITA 126 TONG BERNILAI LEBIH RM10,000

12/04/2025 11:50 AM

BUKIT MERTAJAM, 12 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu Gas Petroleum Cecair (LPG) selepas menyerbu sebuah premis di sini dan menyita 126 tong gas LPG bernilai lebih RM10,000 semalam.

Pengarahnya S.Jegan berkata pihaknya menyerbu premis itu pada 3 petang susulan maklumat yang diterima daripada orang awam berkaitan aktiviti urus niaga barang kawalan tanpa kebenaran.

"Hasil pemeriksaan awal di lokasi mendapati premis terbabit menjalankan perniagaan tanpa lesen atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan untuk berurus niaga LPG.

“Ekoran itu, kami telah menyita 126 tong gas LPG bersaiz 14 kilogram (kg) dan 12 kg, termasuk tong kosong serta tong berisi gas (sejumlah 444 kg). Beberapa dokumen berkaitan turut disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jegan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di premis yang tidak dilesenkan.

Beliau berkata tindakan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR yang dilancarkan pada 19 Okt lepas, bertujuan menangani isu manipulasi urus niaga dan ketirisan melibatkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan