KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Menyertai Ops Mega Pembersihan pascakebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya memberikan pengalaman baharu kepada lebih 30 pelajar universiti tempatan, sekali gus berpeluang melihat sendiri kesan kemusnahan akibat bencana yang berlaku pada 1 April lepas.
Penyelaras Sukarelawan UNITE dan Serve Selangor Umar Asyraf Mohd Khair, 20, berkata operasi ini bukan sekadar aktiviti sukarelawan, sebaliknya satu latihan kehidupan yang menguji ketahanan fizikal dan emosi, terutamanya perlu melakukan kerja pembersihan dalam keadaan mencabar, cuaca panas terik dan berdebu.
Beliau berkata kumpulan pelajar itu menyertai Ops Mega Pembersihan di Taman Putra Harmoni dengan membantu membersihkan kawasan luar rumah, taman permainan dan persekitaran yang terjejas.
“Ini adalah peluang terbaik pelajar untuk berbakti secara langsung kepada masyarakat sambil menunjukkan solidariti kepada mangsa.
“Kami harap sumbangan tenaga yang diberikan ini terutama membantu membersihkan kawasan di perumahan di sini dapat memberikan kelegaan kepada penduduk setempat yang terjejas,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Siti Zulaikha Muhamad Halim, 24, berkata walaupun berdepan keadaan agak teruk dan mencabar, dia tetap bersyukur diberi peluang untuk menyumbang tenaga dan merasai pengalaman bermakna itu.
“Saya simpati dengan nasib penduduk dan rasa bertuah dapat menyertai Ops Mega Pembersihan ini. Ini adalah sumbangan kecil saya kepada negara,” katanya.
Seorang lagi pelajar UPM Roshamira Roshidi, 21, yang mengutip pengalaman pertama menyertai misi bantuan seperti ini berkata hatinya terpanggil untuk turut serta membantu mangsa menerusi kerja-kerja sukarelawan setelah melihat tragedi ngeri di Putra Heights melalui laporan berita dan di media sosial.
“Kami bantu bersihkan kawasan luar rumah dan taman permainan. Jika diminta penduduk baharulah kami turut masuk ke dalam rumah untuk membantu.
“Sebelum ini hanya lihat dalam berita kejadian ini tetapi kali ini saya saksikan sendiri kemusnahan akibat kebakaran, memang menyedihkan,” katanya.
Difahamkan, lebih 500 pelajar dari 10 universiti tempatan antaranya UiTM Shah Alam, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Islam Selangor dan Universiti Putra Malaysia menyertai Ops Mega Pembersihan di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru bermula semalam hingga hari ini.
Operasi selama dua hari bermula semalam melibatkan lebih 4,000 sukarelawan daripada lebih 20 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) digerakkan ke 12 zon di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.
Sebanyak 264 unit kenderaan dan jentera termasuk lori water jetter, lori tangki, jentera pengorek kaut, penyapu jalan, mesin pencincang kayu dan kren pengangkat digunakan dalam operasi berkenaan.
Kebakaran saluran paip gas yang berlaku kira-kira 8.10 pagi itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter, dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
-- BERNAMA