AM

KPDN TANGGUH PENGUATKUASAAN LABEL PENANDAAN MINYAK ENJIN SELAMA ENAM BULAN

11/04/2025 06:00 PM

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) --  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersetuju menangguhkan penguatkuasaan perintah mempamerkan label penandaan minyak enjin kenderaan motor selama enam bulan berbanding tarikh penguatkuasaan asal pada 7 April lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata keputusan dibuat selepas menerima beberapa permohonan dan maklum balas pemain industri dan persatuan berkaitan minyak enjin berhubung kekangan teknikal dalam mematuhi pelaksanaan perintah berkenaan. 

Ia terutama dalam aspek kesukaran untuk menghabiskan bekalan minyak enjin yang sudah diedar dan sedang berada di pasaran tempatan.

“Sehubungan itu, kementerian bersetuju menangguhkan penguatkuasaan perintah ini selama enam bulan bermula dari tarikh penguatkuasaan asal iaitu pada 7 April 2025.

“Kementerian menggesa agar pihak industri mengambil tindakan sewajarnya dan memastikan minyak enjin yang akan dijual di pasaran telah mempunyai label pematuhan yang diperakukan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd (SIRIM) pada 7 Okt 2025 kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, KPDN telah pun merangka satu perundangan khusus bagi melindungi dan mengawal selia jualan dan pengedaran minyak enjin di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024.

Di bawah perintah ini, mulai 7 April 2025, minyak enjin kenderaan motor yang dijual di pasaran tempatan diwajibkan mempamerkan label pematuhan yang diperakukan oleh SIRIM.

Azman berkata selepas tempoh penangguhan itu berakhir, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat pengimport, pengedar atau penjual yang menjual produk yang tidak diperaku dan tiada label pematuhan yang sah daripada SIRIM.

“KPDN memandang serius aspek keselamatan dan kesejahteraan pengguna yang membeli dan menggunakan minyak enjin di dalam negara ini.” katanya.

Beliau berkata mana-mana pertubuhan perbadanan, yang disabitkan kesalahan di bawah perintah berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 manakala bagi individu, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. 

“Kementerian akan meneruskan sesi libat urus bagi memastikan pihak industri mengambil langkah segera bagi mematuhi Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan