KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) disaran memperluas program Jualan Rahmah di institusi pengajian tinggi seluruh negara bagi mengurangkan kos sara hidup golongan muda.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak Woo Kah Leong berkata beliau akan mengemukakan cadangan memperluas program itu kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pada Mesyuarat Gerakan Pengguna Kebangsaan akan datang.
“Tidak kira kepada warga emas, wanita ataupun orang muda, itu (Jualan Rahmah) memang satu inisiatif yang baik. Saya akan utarakan cadangan ini untuk dilaksanakan di kampus tidak kira tempatan ataupun swasta,” katanya.
Woo yang juga Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) berkata demikian kepada pemberita pada Jamuan Raya DAPSY Bersama Media di sini hari ini.
-- BERNAMA