AM

PRK AYER KUNING BUKA GELANGGANG ESOK

11/04/2025 08:10 PM

TAPAH, 11 April (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan bermula esok dengan proses penamaan calon di Dewan Merdeka Tapah di sini. 

Setiap bakal calon diberikan tempoh sejam bermula pukul 9 hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori.

Sebaik proses pencalonan selesai, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan DUN itu yang merupakan antara dua kerusi DUN di bawah Parlimen Tapah.

Berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca sepanjang proses penamaan dijangka hujan.

Sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata tujuh borang pencalonan PRK Ayer Kuning telah dijual pada 11 pagi tadi.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengumumkan calon masing-masing bagi merebut kerusi DUN itu.

BN meletakkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan.

Sementara PN pula mengumumkan Pengerusi PN Tapah Abdul Muhaimin Malek, 44, dan PSM mencalonkan Timbalan Setiausaha Agung parti itu Bawani KS, 40.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata sebanyak 778 pegawai dan anggota ditugaskan pada hari penamaan esok.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN itu pada 26 April, sementara pengundian awal pada 22 April.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan