TAPAH, 14 April (Bernama) -- Pendidikan menjadi antara visi utama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang lebih cemerlang.
Mohamad Yusri berkata pendidikan memainkan peranan penting dalam mengubah corak pemikiran serta membuka ruang kepada kemajuan sosial dan ekonomi.
"Pendidikan ini akan mengubah kita punya minda, kita pun mengubah kualiti hidup dan sebagainya. Jadi ia menjadi keutamaan kita (BN) untuk melahirkan generasi yang hebat," katanya ketika kepada pemberita selepas menghadiri Taqarrub Perak Sejahtera 2030 di Kampung Tersusun Batu 4 di sini hari ini.
Ditanya mengenai jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar, beliau berpandangan bahawa faktor lokasi bukanlah penghalang utama dalam mengejar ilmu pengetahuan
"Luar bandar bukan bermakna tak ada orang pandai, kita yakin perubahan akan berlaku dan manusia yang cepat dan tangkas dalam menimba ilmu dia akan dapat banyak pengetahuan," katanya yang merupakan bekas guru dan pensyarah.
Mohamad Yusri berkata perancangan bagi meningkatkan tahap pendidikan penduduk di DUN Ayer Kuning akan disesuaikan mengikut keadaan dan dilaksanakan dengan terbaik.
Sebelum ini, Mohamad Yusri berkata beliau bertekad untuk meneruskan perancangan bekas Ahli DUN Ayer Kuning Allahyarham Ishsam Shahruddin, khususnya dalam membantu meningkatkan kualiti pendidikan pelajar di kawasan itu.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Feb.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April manakala pengundian awal pada 22 April.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
-- BERNAMA