KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Syarikat telekomunikasi diarahkan supaya menyelesaikan masalah capaian internet mengikut negeri secara bulanan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perkara itu adalah tindakan susulan selepas perjanjian perkongsian Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G 6 Hala dimeterai.
“Hasrat saya adalah (berasaskan) dasar ada jalan, di situ ada internet, dan kita mampu lakukan kerana syarikat telekomunikasi telah menandatangani perjanjian persefahaman yang membolehkan mereka membuat perkongsian rangkaian iaitu MOCN 4G 6 Hala.
“Langkah seterusnya adalah pengarahan bulanan kepada semua telekomunikasi untuk menyelesaikan masalah internet mengikut negeri satu demi satu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Perjanjian MOCN 4G 6 Hala itu telah dimeterai pada Mei tahun lepas dan telah mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan kerana syarikat telekomunikasi perlu membangunkan infrastruktur yang membolehkan mereka bekerjasama.
Ketika ditanya mengenai masalah capaian internet di Ayer Kuning, Perak Fahmi berkata beberapa lokasi yang mengalami masalah capaian internet rendah telah dikenal pasti termasuk di perkampungan Orang Asli.
Beliau berkata masalah capaian internet itu hanya melibatkan beberapa syarikat telekomunikasi.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan arahan dan pada Ahad lepas, saya telah minta supaya satu penyelesaian dikenal pasti.
“Syarikat telekomunikasi telah memaklumkan bahawa mereka telah melakukan beberapa program pengoptimuman untuk memastikan kawasan terlibat mendapat capaian yang sederhana, bukan yang terbaik, belum yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata dalam pada itu, MCMC telah minta syarikat telekomunikasi terlibat mengemukakan penyelesaian jangka masa panjang.
Fahmi berkata aduan mengenai masalah capaian internet rendah bukan sahaja diterima melibatkan Ayer Kuning malah juga banyak kawasaan lain, sehingga menganggap aduan itu seperti aduan runcit.
“Oleh itu, saya minta MCMC meneliti data sedia ada melalui aplikasi Nexus iaitu data dalaman dan melalui penyedia perkhidmatan seperti Ookla yang dapat mengenal pasti lokasi capaian internet lemah dan mengeluarkan arahan kepada syarikat telekomunikasi setiap bulan bagi setiap negeri.
“(Lihat) ini kawasan-kawasan yang mengalami capaian internet rendah, lemah dan mereka (syarikat telekomunikasi) perlu melakukan penyelesaian segera,” katanya.
Beliau berkata isu pada masa ini adalah syarikat telekomunikasi hanya menunggu aduan masalah capaian internet.
“Kita akan tukar daripada menantikan aduan kepada ‘inilah senarai yang perlu kamu (syarikat telekomunikasi) siapkan untuk bulan ini’,” katanya.
Ahad lepas, Fahmi mengarahkan semua syarikat telekomunikasi supaya mengemukakan penyelesaian terhadap masalah capaian Internet lemah di seluruh negara atau berdepan tindakan tegas.
-- BERNAMA