KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Semakan awal Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat ini mendapati 24 mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya layak memohon bantuan peralatan pemulihan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata 46 mangsa telah disemak dan akan meneliti keadaan 88 lagi mangsa yang menerima rawatan di beberapa hospital di ibu negara serta Serdang, Selayang, Shah Alam dan Klang, Selangor.
Beliau berkata PERKESO sedang menunggu maklumat rasmi daripada hospital terlibat bagi melengkapkan proses semakan terhadap mangsa berkenaan.
“Mangsa yang memerlukan peralatan tersebut boleh terus memohon dan PERKESO akan menyediakan sokongan serta rawatan pemulihan yang sesuai,” katanya kepada pemberita di Majlis Manisnya Syawal PERKESO di sini hari ini.
Secara keseluruhan, 134 mangsa mengalami kecederaan dalam insiden kebakaran saluran gas Petronas yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa lepas.
Mohammed Azman berkata pertubuhan itu juga bersedia membantu proses tuntutan bagi semua pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang cedera dalam insiden tersebut.
"PERKESO sentiasa cakna terhadap nasib mangsa tragedi ini. Skuad PERKESO Prihatin di Selangor dan Kuala Lumpur telah berada di lokasi kejadian pada hari tersebut dan telah melawat mangsa di hospital untuk mendapatkan perkembangan terkini," katanya.
Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan agensi lain melalui Program Sinergi Sosial bagi memastikan mangsa menerima bantuan yang sewajarnya.
Sementara itu, Majlis sambutan Aidilfitri PERKESO dihadiri Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Timbalannya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad serta Ketua Setiausaha kementerian Datuk Azman Mohd Yusof.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
-- BERNAMA