AM

MANGSA BANJIR DI SABAH MENINGKAT, JOHOR MENURUN

14/04/2025 10:11 AM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi ini berbanding petang semalam manakala di Johor jumlahnya semakin berkurangan.

Di SABAH, jumlah mangsa meningkat kepada 875 orang daripada 254 keluarga pagi ini yang ditempatkan di 10 PPS, berbanding 687 orang daripada 191 keluarga petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan Beaufort dan Keningau merupakan daerah baharu menyaksikan mangsa banjir dipindahkan pagi ini, semasa Nabawan dan Sook terus menyediakan tempat perlindungan kepada mangsa banjir.

Nabawan mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 467 orang daripada 119 keluarga yang ditempatkan di enam PPS diikuti Sook dengan 232 mangsa daripada 77 keluarga di dua PPS, Beaufort dengan 108 mangsa daripada 40 keluarga di satu PPS, dan Keningau dengan 68 mangsa daripada 18 keluarga di satu PPS.

“Sebanyak 40 kampung terjejas akibat banjir dengan 30 kampung daripadanya di Nabawan, enam kampung di Beaufort dan masing-masing dua kampung di Sook dan Keningau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu di JOHOR jumlah mangsa menurun kepada 148 orang daripada 48 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 163 daripada 52 keluarga petang semalam. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata setakat ini hanya daerah Batu Pahat masih terjejas dengan satu PPS beroperasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading.

Beliau berkata mangsa yang ditempatkan di PPS itu merupakan penduduk daripada lima kampung iaitu Kampung Baharu Sri Gading, Kampung Parit Bengkok, Kampung Parit Kaspan, Kampung Parit Samion dan Kampung Parit Samijan.

Dua sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Senggarang dan Sungai Batu Pahat di Batu Pahat dengan bacaan masing-masing 3.10 meter dan 2.30 meter.

“Sementara itu, sehingga pukul 8 pagi, semua daerah dilaporkan cerah dan tiada amaran ribut petir dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan