WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IMIGRESEN SERBU KLINIK TAWAR KHIDMAT DOKTOR WARGA ASING TIDAK BERTAULIAH

21/05/2025 12:35 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah klinik yang disyaki menawarkan khidmat doktor warga asing tidak bertauliah dalam operasi khas di tiga lokasi berasingan di Selangor dan ibu negara, pada Isnin lepas.

Operasi yang dijalankan hasil risikan selama dua minggu itu menyasarkan premis di Sungai Buloh, Shah Alam serta Jalan Ipoh, di sini dan berjaya menahan enam warga asing berusia antara 23 hingga 57 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata antara yang ditahan seorang lelaki warga Pakistan dikenali sebagai ‘Maleeq’ yang dipercayai berperanan sebagai doktor, tiga wanita warga Myanmar yang disyaki pembantu klinik serta masing-masing seorang wanita warga Pakistan dan India.

“Siasatan awal mendapati terdapat kesalahan seperti tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas lawatan, tiada dokumen sah serta pemilikan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas buku log pesakit, cop klinik, beberapa pasport, peralatan perubatan, sijil sakit, telefon bimbit dan pakaian pengamal perubatan dalam operasi terbabit.

Zakaria berkata siasatan lanjut mendapati klinik yang beroperasi selama setahun itu menawarkan pemeriksaan kesihatan pada waktu malam kepada warga asing dengan bayaran RM90 bagi setiap pemeriksaan, yang dibayar secara dalam talian.

Tambah beliau kesemua mereka kini ditahan di Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 manakala seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Filipina diberi notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan