DUNIA > BERITA

TPM FADILLAH KE THAILAND, KUKUHKAN KERJASAMA TENAGA BERSIH DAN AIR MAMPAN

21/05/2025 09:59 PM

BANGKOK, 21 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Thailand dalam rangka lawatan kerja rasmi bermula petang ini hingga Sabtu (24 Mei) bagi memperkukuh inisiatif tenaga bersih dan pengurusan air mampan.

Lawatan Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, ke Thailand akan memfokuskan kepada kerjasama strategik dalam bidang tenaga boleh baharu, keselamatan tenaga, dan pengurusan sumber air secara mampan.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Fadillah dijadualkan mengadakan kunjungan hormat kepada dua rakan sejawatnya di Thailand, iaitu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga serta Timbalan Perdana Menteri yang mengetuai Pejabat Sumber Air Kebangsaan.

"Kunjungan hormat ini bertujuan membincangkan kerjasama rentas sempadan dalam pembangunan tenaga bersih dan pengurusan air industri, sekali gus memperkukuh diplomasi serantau.

Lawatan kerja ini meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih strategik dalam landskap tenaga ASEAN, sekali gus memacu pembangunan sektor tenaga dan air negara yang lebih mampan, inovatif, dan berteraskan kepentingan rakyat. Ini selaras dengan penerapan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat," menurut PETRA.

Fadillah juga dijadualkan menghadiri sesi taklimat bersama syarikat TTM (Thailand) yang bertujuan menjana peluang pelaburan dua hala serta memperkukuh projek tenaga serantau yang memberi impak langsung kepada kestabilan bekalan tenaga dan kemampanan alam sekitar.

Selain di Bangkok, Timbalan Perdana Menteri turut dijadualkan melawat sebuah loji rawatan air dan kitar semula di Daerah Chonburi untuk menimba pengalaman terbaik dalam inovasi hijau dan pengurusan sumber industri yang cekap.

Beliau juga akan menghadiri majlis ramah mesra bersama komuniti diaspora Malaysia di Bangkok dan menyempurnakan sesi makan malam bersama pihak industri sektor tenaga di Thailand. Majlis itu bertujuan memperkukuh peluang kolaborasi sektor swasta dalam teknologi hijau dan pelaburan tenaga boleh baharu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan