DUNIA > BERITA

LUMBA HARAM: 10 WARGA MALAYSIA DIDENDA DI HAT YAI

18/05/2025 10:26 PM

Oleh Tuwaedaniya Meringing

SONGKHLA, 18 Mei (Bernama) -- Sepuluh pelancong Malaysia dikenakan denda oleh polis Thailand atas kesalahan memandu secara berbahaya di Daerah Hat Yai pada Jumaat lepas.

Kumpulan itu, terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita berusia antara 21 hingga 37 tahun, dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram di jalan berhampiran Bazaar Greenway, selepas aduan diterima daripada penduduk setempat.

Ketua Polis Kohong Hat Yai, Kol. Pol. Apichat Wannako berkata kejadian itu berlaku sekitar pukul 1.30 pagi, dan pihaknya menerima laporan daripada penduduk yang bimbang dengan keselamatan jalan raya di kawasan terbabit.

"Selepas menerima laporan, polis menjalankan siasatan dan mendapati enam kereta berdaftar di Malaysia yang telah diubah suai digunakan untuk memandu secara berbahaya. Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis berjaya mengesan dan menjejaki suspek," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Menurut Apichat, semua suspek telah mengakui kesalahan mereka dan membayar denda sebanyak 5,000 Baht setiap seorang sebelum dibebaskan pada Ahad.

Beliau turut mengingatkan pelancong agar mematuhi undang-undang di Thailand bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan