DUNIA > BERITA

ASEAN KUKUH BERLANDASKAN KENEUTRALAN DAN PENGLIBATAN, KATA ANWAR

15/05/2025 10:41 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keupayaan ASEAN mengekalkan keneutralan dan berinteraksi dengan semua kuasa besar tanpa terjerumus ke dalam persaingan geopolitik adalah berakar umbi daripada rasa hormat bersama dan diplomasi inklusif.

Beliau menjelaskan pendekatan berkenaan telah membolehkan rantau ini kekal aman dan berdaya tahan ekonomi meskipun wujud ketegangan global yang meningkat.

“ASEAN secara keseluruhan, mengamalkan dasar berpusat. Kita berdagang dengan semua, dan kita harus bersahabat dengan semua,” kata Anwar pada sesi soal jawab selepas syarahan umum bertajuk “ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia” di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) pada Khamis.

Sesi itu turut disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Anwar.

Anwar menambah ASEAN mesti kekal yakin dalam menentukan hala tuju sendiri sambil menegakkan pendekatan dasar luar yang konsisten ketika berurusan dengan Amerika Syarikat (AS), China dan pemain global lain.

Beliau turut menegaskan pendekatan Malaysia terhadap tuntutan maritim bertindih di rantau ini, termasuk di Laut China Selatan, berteraskan dialog aman dan kerjasama.

“Kami mempunyai isu dengan beberapa negara -- Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina dan Vietnam -- tetapi kami selesaikannya melalui rundingan atau usaha pembangunan bersama. Kami tidak berperang,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia telah menulis surat kepada Presiden AS Donald Trump dan kepimpinan China mencadangkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak ASEAN-China semasa Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.

“Ia sejajar dengan konsep hubungan geopolitik - berinteraksi dengan semua,” tambah beliau.

Beliau menafikan tanggapan China sebagai ancaman serantau, menegaskan Malaysia tidak berkongsi pandangan sedemikian.

“Ada yang mengatakan China adalah ancaman. Ancaman kepada siapa? Bukan kepada kami,” katanya, mengukuhkan komitmen Malaysia untuk mengekalkan hubungan mesra dan konstruktif dengan semua rakan, termasuk China, AS dan Rusia.

Anwar turut membincangkan penglibatan Malaysia dengan negara Selatan Global melalui kumpulan BRICS, apabila Malaysia dijemput untuk menyertainya dengan sokongan Rusia dan China.

“Rusia mempunyai kekuatan dalam sektor tenaga, digital dan petrokimia. Walaupun sekatan masih dikenakan, kita membuka laluan,” katanya, sambil menjelaskan Malaysia menyambut baik kembalinya syarikat penerbangan Rusia seperti Aeroflot ke Kuala Lumpur.

Beliau juga menegaskan komitmen Malaysia terhadap kerjasama serantau melalui ASEAN, menggambarkan Asia Tenggara sebagai subrantau paling aman dan antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia.

Anwar menyatakan kemajuan ASEAN dipacu oleh kepercayaan, penyelarasan dan kesediaan berterusan negara anggota untuk terlibat, walaupun dalam perkara sensitif.

“Dalam ASEAN, kami saling berunding rapat. Kejayaan kami terletak pada kepercayaan bersama, koordinasi dan kesediaan untuk terlibat,” kata Anwar dalam syarahan umumnya.

Mengenai konflik antarabangsa, beliau meluahkan kebimbangan terhadap dwistandard dalam tindak balas global, khususnya antara perang di Ukraine dan konflik yang berterusan di Gaza.

Beliau mengulangi sokongan Malaysia untuk penyelesaian aman terhadap konflik di Ukraine dan berkata perkara itu telah dibangkitkan semasa pertemuannya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Moscow.

“Saya memberitahu Presiden Putin bahawa kami menantikan kejayaan rundingan yang sedang berlangsung di Istanbul hari ini. Kami menyokong semua inisiatif untuk menyelesaikannya secara baik dan aman,” katanya.

Anwar berkata Malaysia terus mengekalkan hubungan erat dengan Amerika Syarikat, pelabur dan rakan dagang terbesar negara, sambil berhak menyuarakan pendirian berprinsip mengenai isu global.

Beliau menambah kepimpinan yang berkesan memerlukan keberanian dan konsistensi, walaupun ketika berdepan ketidakpastian.

“Kepimpinan memerlukan kesabaran dan keyakinan - untuk bertindak dengan berani tatkala kejelasan sukar difahami, dan berpegang teguh pada harapan apabila ia dirasakan paling rapuh,” katanya.

Anwar dalam lawatan rasmi empat hari ke Rusia, yang merangkumi program di Moscow dan Kazan, atas jemputan Putin dan turut dikurniakan ijazah kedoktoran kehormat oleh MGIMO.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan