POLITIK > BERITA

PKR PERLU RANGKA PROGRAM, DEKATI PENGUNDI MUDA MENJELANG PRU16 - NURUL IZZAH

19/05/2025 12:36 AM

BUKIT MERTAJAM, 18 Mei (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memperkasa jentera dan mendekati rakyat dengan merangka program kemasyarakatan, khususnya bagi pengundi muda untuk meraih sokongan golongan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Naib Presidennya Nurul Izzah Anwar berkata kaji selidik yang dijalankan menunjukkan 68 peratus orang muda tidak meminati politik, justeru parti mempunyai peranan untuk mendepani cabaran tersebut.

“Kita faham, mereka (pengundi 18 tahun) undi berdasarkan pilihan kawan, kalau dulu mereka dengar mak ayah undi parti A, dia hendak undi parti C, mereka tak nak ikut, mahu jadi rebel. Ini juga cabaran yang akan kita hadapi.

“Bila bercakap dalam konteks masalah 68 peratus pengundi muda tidak minat dengan politik, maksudnya kita kena pastikan program masyarakat itu menjadi sebati dengan jiwa,” katanya ketika berucap pada Jelajah Temu Rapat Akar Umbi Zon Utara di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek merangkap Menteri Pendidikan dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Nurul Izzah yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden pada Pemilihan PKR sesi 2025-2028 juga mahu ahli parti tidak melupakan sejarah parti itu yang sentiasa kalis dan berdepan dengan pelbagai cabaran sejak ia ditubuhkan pada 4 April 1999.

Ditanya mengenai cadangan berdebat dengan pesaingnya Datuk Seri Rafizi Ramli, beliau berkata lebih fokus untuk berjumpa dengan akar umbi parti tersebut dalam tempoh berbaki lima hari lagi untuk pemilihan parti.

Pengerusi MPN Pulau Pinang itu juga berkata beliau mahu memberi fokus kepada PRU16 dan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang yang disifatkannya lebih penting berbanding pemilihan parti.

Pemilihan PKR menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden antara Nurul Izzah dan Rafizi manakala Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal tanpa dicabar.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Wanita dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan