Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali, Nor Farah Aqilah Mohd Sham and Nurfardlina Izzati Moktar
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Thailand membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, yang dicirikan melalui kerjasama strategik, penglibatan peringkat tinggi dan visi bersama ke arah pembangunan serantau.
Duta Thailand ke Malaysia, Lada Phumas berkata hubungan kedua-dua negara berkembang pesat, khususnya selepas beberapa pertemuan penting antara kedua-dua perdana menteri.
"Ini merupakan detik yang amat bermakna. Saya boleh gambarkan ia sebagai satu dinamisme, keterlibatan peringkat tinggi dan visi strategik yang dikongsi bersama," katanya dalam wawancara program The Nation’s Diplomatic Dispatch di Bernama TV pada Selasa.
Beliau turut menyentuh mengenai pengukuhan kerjasama antara agensi kedua-dua negara, termasuk usaha memperkukuh keselamatan rentas sempadan dan memerangi jenayah siber.
Duta itu menjelaskan bahawa momentum positif ini dijangka berterusan dan menyumbang secara langsung kepada kerjasama serantau, terutamanya semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini.
"Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia amat penting dan kami komited sepenuhnya untuk bekerjasama di bawah kepimpinan yang jelas ini.
"Matlamat kami adalah untuk membina pertumbuhan ekonomi serantau, meningkatkan daya tahan dan menggalakkan pembangunan mampan," katanya.
Lada menegaskan bahawa Thailand menyokong penuh tema Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia yang berteraskan keterangkuman dan kemampanan, sejajar dengan keutamaan dasar nasional Thailand.
"Ini adalah moto yang kami kongsi: meletakkan rakyat sebagai teras kerjasama. Kami sedang memajukan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan memperkukuh kesalinghubungan menerusi tiga tonggak ASEAN, iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya," katanya.
Beliau turut menekankan peranan Thailand sebagai Pengerusi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang turut disokong oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai pemangkin menjadikan ASEAN ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.
Thailand juga sedang memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan awam dan pembangunan mampan, termasuk penubuhan Pusat ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Berjangkit di Thailand untuk meningkatkan kesiapsiagaan serantau menghadapi krisis kesihatan pada masa depan.
Dari sudut perdagangan, Lada mendedahkan Malaysia dan Thailand berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$30 bilion menjelang 2027, dengan jumlah perdagangan tahun lalu telah mencecah US$26 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak 33 peratus merupakan dagangan sempadan, tertinggi antara Thailand dengan mana-mana negara jiran.
"Kami yakin sasaran ini akan dicapai. Thailand juga telah membenarkan eksport daging lembu ke Malaysia bermula Januari 2025 dan berharap proses kelulusan dapat dipercepatkan bagi merancakkan perdagangan serta menjamin keterjaminan makanan," katanya.
Lada turut menggalakkan lebih ramai pelancong Malaysia mengunjungi Thailand, sambil memaklumkan mengenai pelaksanaan Kad Ketibaan Digital Thailand (T-DEC) bagi memudahkan proses kemasukan.
"Kami merekodkan 1.5 juta pelawat dari Malaysia dalam tempoh empat bulan pertama 2025, dengan lebih 300 penerbangan mingguan dari Pulau Pinang, Kota Bharu dan Kuala Lumpur ke lima destinasi di Thailand," katanya.
Beliau berkata bahawa Thailand kini mengetuai inisiatif pelancongan serantau yang digelar "Six Countries, One Destination" untuk merancakkan perjalanan dan integrasi ekonomi di seluruh ASEAN.
"Kami amat mengalu-alukan lebih ramai warga Thailand dan rakan ASEAN lain untuk turut mengunjungi Malaysia. Inisiatif ini akan mengukuhkan pelancongan dua hala dan serantau," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial