WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIDANG KEMUNCAK ASEAN: RAPID KL LANJUT OPERASI REL PADA WAKTU PUNCAK

20/05/2025 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) --  Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi rel pada waktu puncak pagi dan petang bermula 23 hingga 27 Mei ini, bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang diadakan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini memaklumkan waktu puncak pada hari bekerja dilanjutkan satu jam lebih awal bermula 6.30 pagi hingga 10 pagi dan 4.30 petang hingga 8 malam berbanding waktu puncak biasa iaitu 7 hingga 9.30 pagi, dan 5 petang hingga 7.30 malam.

Prasarana memaklumkan kekerapan operasi tren pada hujung minggu khususnya pada 24 dan 25 Mei turut ditambah bagi menampung peningkatan jumlah penumpang sepanjang tempoh persidangan.

Menurut kenyataan itu, Rapid KL juga akan mempertingkatkan pemantauan dan kawalan operasi bagi memastikan kelancaran perkhidmatan pengangkutan awam sepanjang sidang kemuncak berlangsung.

“Sekiranya berlaku peningkatan jumlah penumpang atau keperluan operasi, pihak Rapid KL bersedia menambah bilangan tren.

“Sebanyak 400 kakitangan tambahan turut ditempatkan di stesen-stesen rel terpilih bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang dan delegasi ASEAN yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam,” menurut kenyataan itu.

Bagi operasi perkhidmatan bas dan Rapid KL On-Demand, Prasarana memaklumkan beberapa laluan dijangka mengalami kelewatan jadual perjalanan susulan penutupan jalan secara berperingkat oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh tersebut.

Antara yang terlibat ialah Laluan 402 (LRT Titiwangsa-LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa-KLCC), Laluan 300 (Hab Pandan Indah-Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya-Lebuh Ampang), Rapid KL On-Demand (Zon Titiwangsa-Chow Kit).

“Pengguna bas yang ingin ke KLCC dan kawasan sekitarnya disaran untuk menggunakan perkhidmatan rel bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” menurut kenyataan itu.

Prasaranan menyarankan penumpang agar merancang perjalanan lebih awal, memantau notifikasi terkini melalui media sosial rasmi Rapid KL atau memuat turut aplikasi PULSE, serta mempertimbangkan penggunaan alternatif seperti perkhidmatan rel bagi mengelak sebarang kesulitan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan