WILAYAH - TENGAH > BERITA

BELIA MALAYSIA POSITIF TERHADAP ASEAN, PERLU LEBIH PENDEDAHAN - KAJIAN 

19/05/2025 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Golongan belia di negara ini secara umumnya menunjukkan sentimen yang positif terhadap ASEAN meskipun tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai fungsi serta inisiatif badan serantau itu dilihat sederhara, menurut kajian terkini.

Kajian oleh sekumpulan penyelidik dari beberapa universiti tempatan itu mendapati pelajar universiti di Malaysia mengiktiraf peranan ASEAN dalam mempromosikan perpaduan, keamanan, pertumbuhan ekonomi, dan pemerkasaan belia namun perlu lebih menonjol serta mudah diakses oleh generasi muda.

Pengetahuan responden mengenai struktur dan inisiatif ASEAN juga terhad, dengan purata skor 2.98 bagi pemahaman dan 2.88 untuk tahap pendedahan daripada skala lima.

"Skor kurang daripada tiga ini menunjukkan bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk memastikan maklumat berkaitan ASEAN dapat difahami dengan lebih baik," menurut kajian itu.

Namun, para responden menyambut baik sumbangan ASEAN terhadap pembangunan ekonomi dan kestabilan politik menyaksikan skor melebihi tiga dalam kedua-dua aspek ini. 

Menurut kajian itu, belia Malaysia secara umumnya bangga kerana Malaysia menjadi sebahagian daripada ASEAN dan teruja terhadap peluang yang ada, terutamanya dalam bidang pendidikan, pekerjaan, dan perniagaan.

Namun, lebih banyak yang perlu dilakukan untuk memperkukuhkebersamaan dan hubungan dalam kalangan belia di rantau ASEAN.

Kajian itu turut mendapati belia Malaysia bersedia untuk melibatkan diri dalam aktiviti ASEAN, dengan purata skor 3.63 bagi menyokong program ASEAN dan 3.23 bagi penglibatan sukarelawan.

“Mereka juga menyokong kerjasama ekonomi dan kebudayaan yang lebih kukuh antara negara-negara ASEAN,” menurut kajian itu. 

Maklum balas terbuka juga menunjukkan belia Malaysia menyifatkan ASEAN sebagai platform perpaduan, kerjasama, pembangunan ekonomi, pertukaran budaya, dan keamanan.

Bagi tempoh 10 tahun akan datang, mereka membayangkan ASEAN sebagai wahana untuk pemerkasaan, dan kemajuan namun menekankan betapa pentingnya usaha untuk menjadikan inisiatif ASEAN lebih menonjol serta mudah diakses oleh masyarakat umum.

Kajian berkenaan dijalankan melalui tinjauan dalam talian, melibatkan 543 responden yang diketuai oleh Dr Tan Sing Pei, Dr Azhar Abdul Rahman, Dr Chin Yee Mun, Dr Wong Voon Hee, Dr Phua Yeong Nan dan Ani Hafify Anil Yakin.

Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 hingga 27 Mei ini, bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan