KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bermula dengan langkah kanan pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 selepas mencatat kemenangan meyakinkan pada pusingan pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.
Pasangan nombor dua dunia yang berazam untuk menamatkan kemarau kemenangan di tanah air sendiri itu tidak mengambil masa lama untuk mengetepikan cabaran pasangan Perancis Eloi Adam-Leo Rossi, 21-16, 21-13 dalam tempoh 31 minit, sekali gus mara ke pusingan kedua kejohanan berstatus Super 500 itu.
Nur Izzuddin berkata perkara paling penting bagi mereka adalah memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan bagi melunaskan impian menjuarai kejohanan di laman sendiri demi menggembirakan penyokong tempatan.
“Kami hanya main dengan tenang, sebab di sini memang salah satu impian kami untuk menang di depan penyokong kami,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Walaupun mencatat kemenangan, Nur Izzuddin berkata mereka masih perlu memperbaiki beberapa aspek dalam corak permainan, khususnya dari segi pertukaran posisi menjelang aksi pusingan kedua menentang pasangan Taiwan Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh.
Terdahulu, pasangan bukan pilihan dari Taiwan itu mara ke pusingan kedua selepas menewaskan beregu India Hariharan Amsakarunan-Ruban Kumar Rethinasabapathi, 21-13, 21-18.
Sze Fei pula berkata mereka perlu kekal tenang untuk menghidupkan impian merangkul kejuaraan pertama di tanah air sendiri.
Dalam pada itu, satu lagi beregu lelaki negara yang juga pilihan kelima Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut menepati ramalan apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan India Roy Pruthvi-K. Sai Pratheek, 21-15, 23-21.
Kai Wun mengakui bahawa prestasi mereka tidak berada pada tahap terbaik meskipun menang dan berharap dapat menampilkan aksi lebih mantap apabila bertemu pasangan Jepun Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita pada aksi seterusnya.
Sebelum itu, Hiroki-Kyohei memadam harapan untuk menyaksikan pertarungan sesama wakil Malaysia pada pusingan kedua apabila menyingkirkan pasangan negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, 21-11, 22-20.
Sementara itu, pasangan profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa akur tersingkir awal selepas gagal mempertahankan kelebihan pada set pertama apabila tewas kepada pilihan ketiga dari China Liang Wei Keng-Wang Chang, 21-9, 15-21, 15-21.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial