SUKAN > BERITA

STATUS BUKAN PILIHAN TAK HALANG KETERUJAAN TZE YONG DI MASTERS MALAYSIA 2025

19/05/2025 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Meskipun mengakui akan turun beraksi di Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 dengan status bukan pilihan, namun perkara itu tidak menghalang keterujaan pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong, untuk beraksi dengan baik di hadapan penyokong tanah air.

Atlet berusia 25 tahun itu berkata prestasinya yang bertambah baik dapat dilihat daripada satu kejohanan ke satu kejohanan, sejak kembali beraksi juga memberi semangat buatnya untuk beraksi di Axiata Arena bermula esok.

“Teruja sebab setahun lebih tidak main di Malaysia. Saya nampak memang ada tambah baik daripada Kejohanan Badminton Asia ke Terbuka Taiwan, memang ada perubahan.

“Memang saya turun sebagai atlet berstatus underdog, ranking saya juga jauh, tapi main di laman sendiri mesti penyokong banyak, saya tak sabar,” katanya kepada pemberita pada sesi uji gelanggang bagi Masters Malaysia di sini hari ini.

Tze Yong sebelum ini mengalami beberapa kecederaan termasuk koyak otot pada bahagian belakang diikuti kecederaan tulang belakang sejak tahun lalu terpaksa berehat panjang dan kembali beraksi pada BAC pada April.

Atlet kelahiran Johor itu tersingkir pusingan pertama BAC di China serta Terbuka Taiwan dan Terbuka Thailand minggu lepas.

Pada saingan Masters Malaysia yang akan bermula esok, Tze Yong akan membuka tirai kempen menentang pemain Hong Kong Ng Ka Long.

Mengulas mengenai pencabarnya Ka Long, Tze Yong berkata tidak akan mengambil mudah meskipun rekod pertemuan akhir sebelum ini sering memihak kepadanya.

“Saya tak menang lagi musim ini, jadi saya tidak tahu status saya setakat ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan