WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN LIMA LAGI SUSPEK SERANG, TETAK LELAKI DI BUTTERWORTH

20/05/2025 03:00 PM

BUTTERWORTH, 20 Mei (Bernama) -- Polis menahan lima lagi lelaki bagi membantu siasatan kes tetak seorang lelaki sehingga parah di hadapan sebuah restoran di Jalan Raja Uda, di sini Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt C. Tharmalingam berkata lima lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang semalam dan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.

"Setakat ini tujuh lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kes itu termasuk dua suspek pada Jumaat lepas, siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis percaya dengan penahanan mereka akan dapat membantu siasatan.

"Menurut lelaki berumur 41 tahun yang menjadi mangsa serangan, dia tidak tahu punca sebenar kenapa dia diserang dan ditetak dengan parang oleh kumpulan tersebut, malah tidak mengenali mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis juga sedang mengenal pasti punca sebenarnya kejadian itu termasuk mengesan dalang utama insiden tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira 7.20 malam itu, mangsa bersama rakannya tiba di hadapan restoran untuk menjamu selera dan apabila membuka pintu keretanya untuk keluar, tiba-tiba mereka diserang seorang suspek yang memakai topeng dari arah belakang.

Mangsa cuba melarikan diri sebelum dilanggar oleh kereta dinaiki suspek sehingga terjatuh, sebelum suspek bersama dua lagi rakannya kemudian menyerang mangsa menggunakan parang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan