KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- MY E.G. Services Bhd (MYEG) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM181.64 juta bagi suku pertama berakhir pada 31 Mac, 2025 daripada RM155.95 juta dalam tempoh sama sebelum ini.
Perolehan hasil meningkat kepada RM299.99 juta daripada RM232.96 juta yang dicatat sebelumnya.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, MYEG berkata peningkatan hasil itu disumbangkan oleh fi perkhidmatan aplikasi Web 3.0 di platform blockchain Zetrix (Zetrix) seperti ZTrade, ZCert dan pendaftaran pengenalan diri digital dan transaksi selain jualan token Zetrix.
Syarikat perkhidmatan digital itu berkata bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis, 2025, inisiatif dalam Zetrix dijangka dapat memacu pertumbuhan organik.
“Inisiatif-inisiatif ini termasuk pengkomersialan perkhidmatan inovatif berikutan Zetrix semakin digunapakai secara meluas. Peluang bagi Zetrix akan terus dipertingkatkan menerusi pengoperasian Malaysia Blockchain Infrastructure dengan MIMOS Technology Solutions Sdn Bhd.
“Tambahan pula, keterangkuman Zetrix dengan platform blockchain kebangsaan China iaitu ‘Xing Huo’, akan memudahkan lagi perdagangan rentas sempadan selain menandakan penyertaan syarikat dalam pasaran global,” katanya.
MYEG berkata apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) diguna secara berleluasa, syarikat itu menyasarkan untuk memanfaatkan elemen berkenaan bagi membangunkan AI yang berupaya mengoperasi serta melaksanakan tugasan tanpa pemantauan manusia.
“Menerusi pelancaran Makmal AI China-ASEAN, kami berhasrat memperkenalkan projek-projek AI yang relevan di bawah makmal kami untuk terus meningkatkan pertumbuhan kami dari tahun kewangan 2025 dan seterusnya,” katanya.
Tanpa mengambil kira faktor di luar jangka, MYEG kekal optimis namun berhati-hati bahawa prospek jangka panjang kekal positif dan seiring usahanya untuk terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif di Malaysia dan global.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, pengarah-pengarah MYEG telah mencadangkan dividen akhir pada 2.49 sen sesaham, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung tahunan pada 23 Jun, 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial