WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JPP NAFI PELANTIKAN VENDOR URUS SISTEM PEMILIHAN PKR TIDAK DIBINCANGKAN

20/05/2025 09:43 PM

JOHOR BAHRU, 20 Mei (Bernama) -- Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menafikan dakwaan Timbalan Presiden parti Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa pelantikan vendor untuk mengendalikan sistem pemilihan parti itu tidak dibincangkan.

Pengerusi JPP Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata perbincangan mengenai lantikan vendor dan juruaudit oleh Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah diadakan dengan kehadiran Rafizi.

“Pada perbincangan ketika itu Rafizi langsung tidak mempertikaikan tentang lantikan vendor yang buat sistem pemilihan dan yang banyak dipertikai ialah lantikan juruaudit. Tiada apa dikatakan tentang vendor. 

“Kenapa sekarang apabila kita dah selesai pemilihan peringkat Cabang, nak pertikai pula tentang lantikan vendor?,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook beliau, hari ini.

Ketika berucap pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Perak semalam, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi mendakwa pelantikan vendor untuk mengendalikan sistem pemilihan parti itu dilantik secara rahsia dan tidak dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Biro Politik.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menegaskan bahawa JPP bagaimanapun tidak wajar diheret dalam sebarang pertembungan antara calon bertanding pada pemilihan parti sesi 2025-2028.

Beliau berkata JPP selaku badan bebas, komited untuk memastikan proses pemilihan berjalan lancar berdasarkan prinsip demokrasi yang adil dan telus. 

“Kita akan pastikan perjalanan pemilihan pada kongres (Kongres Nasional PKR) berlangsung dengan baik dan insya-Allah kita akan tetap memastikan pemilihan berlaku secara adil, bersih, telus dan berintegriti.

“Berkempenlah dengan cara yang sihat dan matang, kemukakan kekuatan masing-masing dan apa yang anda boleh lakukan untuk kebaikan parti dan demi parti terus relevan,” katanya

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita dijadual berlangsung pada Khamis hingga Sabtu ini, dengan hari pengundian pada Jumaat.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan