WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA, JEPUN PERKUKUH KERJASAMA DALAM BIDANG TIMBANG TARA

19/05/2025 12:36 AM

TOKYO, 18 Mei (Bernama) --  Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) dan Persatuan Penimbang Tara Jepun (JAA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama perundangan dalam bidang timbang tara, menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU).

BHEUU menerusi kenyataan malam ini memaklumkan pemeteraian MoU itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said semasa lawatan kerja berimpak tinggi ke Jepun selama tiga hari bermula 15 lepas. 

Pemeteraian MoU itu antara lain merupakan formaliti kepada kerjasama dalam bidang timbang tara komersial, pembinaan kapasiti serta inisiatif latihan bersama antara AIAC dan JAA yang seterusnya akan diperkukuh di peringkat Menteri sewaktu Dialog Khas Malaysia-Jepun mengenai Kerjasama Perundangan pada Ogos depan.

"Dialog ini, yang menghimpunkan beberapa institusi timbang tara, diiktiraf kerajaan dari kedua-dua negara untuk mewujudkan kerjasama yang lebih mendalam dalam usaha Kerajaan MADANI menterjemah hasil dialog kepada implementasi sebenar," menurut kenyataan itu. 

Menerusi kenyataan sama, Azalina berkata Malaysia dan Jepun sepakat bahawa kejayaan sebenar dalam kerjasama undang-undang adalah ditentukan melalui tindakan. 

Beliau berkata melalui perkongsian pengetahuan dalam institusi, Malaysia kini melangkah ke arah mewujudkan ekosistem undang-undang serantau yang menyokong sektor komersial, meningkatkan keyakinan pelabur dan pembangunan serantau yang mampan agar dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat serta pembangunan ekonomi serantau.

"Malaysia dan Jepun mempunyai hubungan dua hala yang mendalam terutama dalam kerjasama undang-undang. Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk mengukuhkan institusi perundangan yang menyokong pembangunan mampan dan integrasi serantau," katanya. 

BHEUU pula memaklumkan lawatan itu juga memperlihatkan keyakinan serta pengiktirafan masyarakat antarabangsa berhubung agenda reformasi undang-undang dan institusi Malaysia apabila Azalina diundang untuk membentangkan perkara itu yang menyeluruh serta menarik minat pihak berkepentingan di Jepun.

Antaranya ialah penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian (2024), pindaan terhadap Akta Timbang Tara (2024), pindaan kepada Akta Pengantaraan 2012, pengesahan Konvensyen Singapura mengenai Pengantaraan, Pemulihan Akta Perkhidmatan Parlimen (2025) dan usaha melaksanakan Undang-Undang Model Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) berkaitan Insolvensi Rentas Sempadan.

Menurut kenyataan itu, delegasi Malaysia turut membincangkan rancangan Kerajaan MADANI untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Mediasi dengan penekanan mediasi sebagai teras bagi penyelesaian pertikaian, meningkatkan akses kepada keadilan, mengurangkan beban litigasi dan menyediakan alternatif yang kos efektif. 

"Perbincangan dengan Pusat Mediasi Antarabangsa Jepun (JIMC) di Kyoto dan lawatan ke Fakulti Undang-Undang di Universiti Doshisha turut mengukuhkan lagi keutamaan strategik ini," katanya. 

Misi strategik ke Jepun itu membina momentum usaha diplomasi undang-undang ASEAN-Malaysia yang lebih luas sebagai kesinambungan beberapa lawatan Azalina ke Indonesia, Thailand, Kemboja dan Vietnam baru-baru ini.

Azalina turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Keadilan Jepun Keisuke Suzuki dan kedua-dua pihak membincangkan keutamaan bersama termasuk agenda reformasi undang-undang, pendigitalan sistem keadilan dan pembinaan kapasiti dalam mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif (ADR).

Beliau juga bertemu dengan beberapa tokoh utama undang-undang dan Parlimen Jepun, pengamal undang-undang serta pakar timbang tara bagi mengukuhkan hubungan Malaysia dan Jepun terutama dalam bidang undang-undang dan keadilan. 

"Misi ini menandakan satu langkah penting ke arah menterjemah komitmen bersama kepada implementasi yang berkesan, mengukuhkan kepercayaan bersama dan meletakkan asas bagi seni bina undang-undang yang berdaya tahan dan sedia masa hadapan di seluruh rantau ini," menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan