KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Sebanyak 1,300 motosikal diperiksa dalam Op Samseng Jalanan yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa lokasi panas di sekitar ibu negara, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata selain sebagai rutin bagi mengurangkan kes kemalangan, operasi berkenaan juga dijalankan susulan aduan bunyi bising motosikal yang mengganggu pelanggan pada waktu malam oleh pemilik hotel.
Beliau berkata antara lokasi panas terlibat dalam operasi bermula 9 malam itu ialah Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan P Ramlee, Jalan Bukit Bintang dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE).
“Dalam operasi ini kita telah mengesan pelbagai kesalahan seperti ubah suai kenderaan, tiada lesen memandu dan tiada cukai jalan, malah ada yang cuba melarikan diri dengan melawan arus kerana tidak mahu diperiksa dalam sekatan jalan raya.
“Saya ingin menyeru orang ramai terutama ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka, lebih-lebih lagi ketika Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung tidak lama lagi kerana kegiatan berlumba dan membuat bising dengan motosikal boleh memalukan negara,” katanya kepada pemberita ketika operasi berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata dalam operasi berkenaan yang berakhir 4.30 pagi tadi, PDRM telah mengeluarkan 1,006 saman manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut menyertai operasi mengeluarkan 206 saman.
Sebanyak 55 motosikal dan sebuah kereta turut disita.
Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi sekatan jalan raya di Jalan Ampang mendapati penunggang motosikal cuba melarikan diri dengan menunggang secara melawan arus tanpa memikirkan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain demi mengelak daripada pemeriksaan.
Namun percubaan itu dihidu polis bermotosikal yang bersedia untuk menghalang mereka daripada melarikan diri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial