POLITIK > BERITA

LEBIH 280 ADUAN DITERIMA JPP PKR DITELITI, DIAMBIL TINDAKAN - DR ZALIHA

17/05/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Lebih 280 aduan yang diterima Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR sepanjang proses pemilihan parti itu yang melibatkan pelbagai peringkat termasuk semasa pencalonan, kempen dan keputusan cabang telah diteliti satu per satu.

Pengerusi JPP Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata justeru, pihaknya sekali lagi menafikan dakwaan penyandang Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyatakan JPP gagal mengendalikan pemilihan parti itu kerana tidak memberi perhatian dalam menyelesaikan aduan yang diterima. 

“Saya pun telah menyatakan sebelum ini banyak aduan yang telah kita terima dan kita teliti satu per satu, kita terima lebih 280 aduan daripada pelbagai peringkat termasuklah peringkat pencalonan kemudian peringkat kempen dan seterusnya keputusan peringkat Cabang.

“Jadi, saya menafikan kita tidak memberi perhatian (aduan), memang sekarang kita sedang memberi perhatian dan ada sebahagiannya telah pun diambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Zaliha turut menyifatkan pandangan Rafizi terhadapnya itu hanyalah pandangan peribadi.

Rafizi sebelum ini mendakwa Dr Zaliha gagal dalam mengendalikan pemilihan parti itu kerana gagal menyelesaikan aduan berhubung dakwaan kepincangan yang wujud dalam pemilihan peringkat Cabang.

Dalam perkembangan sama, Dr Zaliha berkata sebanyak 251 calon telah menawarkan diri bertanding dalam pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028.

“Alhamdulillah telah selesai pada peringkat pencalonan, insya-Allah minggu hadapan, 23 Mei kita akan berdepan dengan pemilihan,” katanya.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, dengan pemilihan pimpinan pusat diadakan pada 23 Mei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan