WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GPS PERLU KEKALKAN KESEPADUAN HADAPI PRN AKAN DATANG - WONG

17/05/2025 09:01 AM

SIBU, 17 Mei (Bernama) -- Parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) digesa memperkukuh kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Wong Soon Koh berkata sebarang tindakan oleh pihak tertentu yang cuba menggerakkan akar umbi untuk menentang sesama komponen parti hanya akan memberi kelebihan kepada pembangkang.

“Jika ada komponen parti yang cuba untuk menentang parti lain, ini akan membawa perpecahan kepada GPS,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Pra-Gawai 2025 N53 Bawang Assan anjuran PDP Bawang Assan malam tadi.

Sementara itu, Wong berkata sambutan Gawai Dayak bukan sekadar satu perayaan, tetapi ia mencerminkan jati diri masyarakat Dayak yang kaya budaya, cekal dan berbangga dengan warisan mereka.

"Inilah masa untuk menghargai asal-usul kita, merayakan hasil tuaian dan menatap masa depan. Anda mempunyai masa depan yang lebih baik dengan harapan di dalam hati,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan.

Beliau berkata bagi PDP, sambutan Gawai juga menjadi peringatan terhadap komitmen parti itu untuk melindungi hak masyarakat Dayak, memastikan pembangunan seimbang di kawasan luar bandar Sarawak serta memperkasakan setiap rakyat melalui pendidikan, prasarana dan peluang ekonomi.

"Jangan lupa bahawa ketika meraikan tradisi, kita juga perlu mempersiapkan generasi akan datang untuk menghadapi masa depan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan