MELAKA, 15 Mei (Bernama) -- LBS Bina Group Berhad, pemaju hartanah terkemuka memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Oriental Holdings Berhad (OHB) untuk bekerjasama dalam projek pembangunan industri bercampur di Melaka dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM7 bilion.
LBS Bina Group Berhad dalam satu kenyataan berkata MoU berkenaan merangkumi cadangan projek pembangunan industri bercampur bersepadu yang memberi fokus kepada pembangunan industri dan komersial di Klebang.
“Kawasan Klebang dipilih berikutan lokasi strategik dalam ‘Straits of Melaka Waterfront Economic Zone’ (SM-WEZ) yang menawarkan potensi pertumbuhan yang tinggi melalui akses pantai yang dilengkapi infrastruktur yang semakin berkembang dan sejajar dengan agenda transformasi ekonomi jangka panjang negeri Melaka.
“Tumpuan utama pembangunan industri bercampur ini adalah untuk memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya dalam sektor seperti pengeluaran minyak dan gas, pembuatan, rantaian bekalan makanan dan minuman serta logistik dan pergudangan,” menurut kenyataan itu.
MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif LBS Datuk Seri Daniel Lim dan Pengerusi Eksekutif Oriental Holdings Berhad Datuk Loh Kian Chong dalam satu majlis yang berlangsung di sini hari ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan yang menandakan kepentingan projek itu dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan transformasi bandar di negeri berkenaan.
“Kehadiran Ketua Menteri turut memperkukuh keyakinan terhadap projek ini serta menzahirkan komitmen padu pihak kerajaan negeri dalam merealisasikan kejayaannya sebagai pemacu utama kemakmuran masa depan negeri Melaka,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, memandangkan lokasi pembangunan berkenaan berada di hadapan jalan utama, unit industri berkenaan mempunyai nilai komersial dan berfungsi sebagai ruang pameran runcit.
Cadangan pembangunan itu meliputi kawasan seluas kira-kira 227 hektar dan bakal dilaksanakan dalam empat fasa dengan butiran khusus mengenai lokasi dan pecahan kawasan tanah akan dimuktamadkan menerusi Perjanjian Muktamad yang dipersetujui bersama oleh semua pihak terlibat.
Melaka kini berada di kedudukan keenam dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia dari segi jumlah transaksi hartanah industri.
Transaksi bagi tanah kosong dan hartanah jenis separa berkembar (semi-D) mencatatkan kadar pertumbuhan dua angka didorong oleh permintaan tinggi daripada pelabur dan pasaran pengguna untuk kegunaan sendiri.
Selain itu, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Banting, Selangor hingga ke Gelang Patah, Johor yang dalam peringkat perancangan berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan pantai seperti Klang, Port Dickson, Melaka, Muar dan Batu Pahat sekali gus membawa kesan ekonomi yang positif.
WCE akan menjadi alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas sedia ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial