KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Pasukan kebangsaan meneruskan penguasaan ke atas gergasi sepak takraw Thailand selepas menundukkan pasukan itu 2-0 pada final acara regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini malam ini.
Trio negara diketuai Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) mengekalkan status Malaysia sebagai musuh tradisi selepas mendominasi sebahagian besar permainan kira-kira sejam menewaskan negara Gajah Putih itu, 15-12 dan 15-9 pada edisi sulung kejohanan berkenaan.
Kemenangan dilakar turut mengulangi kejayaan Malaysia pada Piala Dunia 2024 acara regu di gelanggang sama, yang menyaksikan skuad negara meraih kemenangan pada perlawanan akhir ke atas Thailand.
Pada set pertama, Malaysia memulakan perlawanan dengan cukup cemerlang dengan sebahagian besar servis dijana sempurna oleh Mohammad Syahir hingga memaksa Thailand akur dengan kekuatan skuad negara.
Thailand diketuai Yodsawat Uthaijaronsri (apit kiri), Sittipong Khamchan (tekong) dan Varayut Jantarasena (apit kanan) terdesak memerlukan kemenangan pada set kedua menggunakan pelbagai taktikal dengan harapan boleh mengheret perlawanan ke set penentuan, namun segala asakan tidak mampu dipatahkan, sekali gus skuad negara mengesahkan kemenangan dengan bergaya.
Sementara itu, Mohammad Syahir ketika ditemui selepas perlawanan itu menyifatkan kemenangan yang diraih tidak dijangka selain beliau mengakui tidak berada pada prestasi terbaik ketika saingan awal acara regu.
“Alhamdulillah menang 2-0 tapi banyak lagi kelemahan perlu diperbaiki dari segi servis. Kami harap dengan masa yang ada ini dapat diperbaiki untuk berdepan Thailand bagi acara regu berpasukan pula,” katanya.
Ini adalah kemenangan kedua skuad negara pada kejohanan itu apabila turut mencipta sejarah mengungguli acara kuadran pada Isnin lepas.
Saingan acara regu berpasukan akan bermula esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial