SIBU, 15 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sibu hari ini atas pertuduhan memalsukan bukti dengan mengemukakan dokumen mengandungi kenyataan palsu yang bertujuan digunakan dalam prosiding kehakiman.
Ngang Hock Kung, 68, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Oon Kork Chern.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Feb lepas, pada 4.35 petang, melalui sistem dalam talian e-Kehakiman Sabah dan Sarawak dengan mengemukakan tiga dokumen yang mengandungi maklumat palsu, iaitu satu afidavit bantahan bertarikh 10 Julai 2024, satu pelan tinjauan dan satu surat penamatan perkhidmatan bertarikh 24 Okt 2023.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat menggunakan dokumen tersebut sebagai bukti dalam prosiding mahkamah bagi mengelirukan mahkamah atau mana-mana pihak lain.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 193 Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 29 Julai untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dijalankan oleh ASP Siti Mariyah Dahari, manakala tertuduh diwakili peguam Yokya Ting.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial