WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUMAH TERBAKAR: JPN GANTI DOKUMEN PENGENALAN DIRI SECARA PERCUMA

29/04/2025 02:26 PM

KOTA BHARU, 29 April (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turun padang untuk menguruskan penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada mangsa yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Kijang, di sini semalam.

Pengarah JPN Kelantan Halimatusaadiah Ramli @ Mohd Shah berkata pihaknya telah menggerakkan sebuah van menerusi pasukan MEKAR untuk membantu mangsa dalam penggantian dokumen pengenalan diri yang rosak atau musnah akibat kebakaran berkenaan.

"Setakat pukul 12 tengah hari, tiga mangsa kebakaran yang ditempatkan di Masjid Al-Aminin, Kampung Kijang telah mendapatkan khidmat penggantian semula dokumen pengenalan diri.

"Kita jangka lebih ramai mangsa kebakaran yang terlibat akan hadir untuk mendapatkan khidmat yang ditawarkan ini. Pasukan MEKAR yang ditugaskan juga akan menunggu sehingga proses ini selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan sebanyak 31 mangsa daripada lapan keluarga hilang tempat tinggal selepas lapan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kijang petang semalam.

Mangsa, Nur Zetty Salinda, 18, berkata ketika kejadian berlaku dia tidak sempat menyelamatkan dokumen pengenalan diri miliknya selepas kediaman yang diduduki bersama ibu, Zainun Mat Daud, 55, serta bapa Mat Husin Sulaiman, 61, hangus terbakar. 

"Ketika kejadian kira-kira 4.40 petang, saya berada di ruang tamu dan menyedari api sudah marak di dalam bilik.

"Dompet yang berisi kad pengenalan diri tidak sempat untuk diselamatkan … syukurlah pihak JPN turun padang menawarkan khidmat penggantian dokumen diri ini secara percuma," katanya.

Bagi warga emas, Setawa Mahmood, 87, pula menzahirkan rasa syukur apabila JPN menawarkan perkhidmatan secara terus kepada penduduk dan tidak perlu bersusah payah pergi JPN sekali gus dapat meringankan beban serta menghilangkan rasa gusar memikirkan ketiadaan dokumen pengenalan diri yang hangus terbakar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan