EKONOMI > BERITA

INDUSTRI INSURANS AM KEKAL BERADA PADA PERTUMBUHAN STABIL - PIAM

29/04/2025 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Industri Insurans Am di Malaysia kekal berada pada pertumbuhan yang stabil walaupun terdapat ketidaktentuan faktor luaran dan kos inflasi, kata Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata 2025 akan menyaksikan penekanan berterusan pada pengunderaitan mampan, inovasi dalam insurans kenderaan elektrik dan pembinaan daya tahan terhadap risiko iklim apabila penanggung insurans menyelaraskan strategi mereka dengan keperluan pengguna yang berubah dan jangkaan kawal selia.

“Sektor Insurans Am di Malaysia sudah bersedia untuk pertumbuhan seterusnya pada 2025, didorong oleh pemulihan ekonomi dan permintaan yang meningkat untuk produk insurans digital.

"Terdapat juga minat yang semakin meningkat dalam insurans bencana alam. Inflasi kos perubatan kekal menjadi kebimbangan, dijangka ia akan meningkat daripada 15 peratus pada 2024 kepada 16.4 peratus pada 2025, jauh melebihi purata di Asia Pasifik sebanyak 10 peratus," katanya.

Menurut PIAM, industri Insurans Am di Malaysia mencatatkan prestasi berdaya tahan dengan premium bertulis kasar meningkat sebanyak 6.9 peratus tahun ke tahun kepada RM23.1 bilion pada 2024, kebanyakannya dipacu oleh pemulihan dalam jualan kenderaan dan momentum berterusan dalam infrastruktur dan insurans berkaitan liabiliti.

"Industri Insurans Am kekal kukuh walaupun menghadapi masalah ekonomi global, berpunca daripada ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dan tekanan inflasi," katanya.

PIAM berkata segmen motor, kebakaran, penerbangan marin dan transit menerajui pertumbuhan premium, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan inisiatif pemulihan industri di bawah rangka kerja ekonomi negara.

Insurans kenderaan menyumbang bahagian terbesar jumlah premium bertulis kasar, meningkat 6.7 peratus kepada tambahan RM651.1 juta dalam premium berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh kenaikan 2.1 peratus tahun ke tahun dalam pendaftaran kenderaan baharu seperti yang dilaporkan oleh Persatuan Automotif Malaysia.

“Sementara itu, premium insurans kebakaran meningkat sebanyak 5.8 peratus, berjumlah RM258.5 juta dalam premium tambahan, didorong oleh kenaikan 4.9 peratus dalam purata premium, mencerminkan kos bahan dan pembinaan semula yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, sektor perniagaan kebakaran kekal sebagai sekotr kedua terbesar dan menguntungkan dengan nisbah tuntutan bersih ditanggung pada 34.1 peratus walaupun kos insurans semula meningkat dan kekerapan berlaku kejadian bencana disebabkan cuaca,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan