WILAYAH - TENGAH > BERITA

KPM KENAL PASTI PENEMPATAN SEMENTARA PELAJAR TERJEJAS KEBAKARAN ASRAMA - FADHLINA

29/04/2025 07:16 PM

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengenal pasti penempatan sementara bagi pelajar terjejas akibat kebakaran blok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak di ibu negara, semalam.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata penempatan baharu itu penting bagi memastikan kesinambungan pembelajaran pelajar yang bergantung sepenuhnya kepada kemudahan asrama kerana kesukaran untuk berulang-alik dari rumah.

“Sementara menunggu proses penempatan semula, ibu bapa telah memberi komitmen untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

“Terdapat beberapa pilihan (untuk penempatan sementara) seperti penyuraian di asrama terdekat selain ada kuarters guru berhadapan asrama dan itu antara pilihan terbaik kita ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO ke-56 2024 di sini hari ini.

Fadhlina berkata proses pengajaran dan pembelajaran akan dijalankan secara dalam talian buat masa ini dengan buku teks serta kelengkapan sekolah telah diberikan kepada pelajar terlibat.

Pada kejadian 8.43 malam semalam, sebuah blok asrama SMK Tinggi Setapak yang menempatkan 91 pelajar lelaki musnah 80 peratus akibat kebakaran.

Bagaimanapun kesemua pelajar dilaporkan selamat kerana kejadian berlaku ketika mereka berada di surau sekolah untuk menunaikan solat isyak.

Terdahulu, Fadhlina menerusi hantaran Facebook memberi jaminan bantuan segera akan disalurkan kepada sekolah tersebut.

Beliau turut mengesahkan tiada guru atau murid yang cedera dan semuanya selamat serta mengarahkan agar kerja baik pulih dilaksanakan segera.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan