WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA TERIMA PUJIAN SELAKU PENGERUSI MESYUARAT ANDEX KESEMBILAN

14/05/2025 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerima pujian atas peranan utama selaku tuan rumah dan pengerusi Mesyuarat Asian Network For Document Examination (ANDEX) kesembilan yang diadakan selama dua hari di sini bermula semalam.

Pengarah Serantau Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) bagi Asia dan Pasifik Iori Kato memberi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia dan Korea Immigration Service atas kepimpinan cemerlang yang dipamerkan sepanjang penggal lepas.

Beliau berkata mesyuarat tahun ini menegaskan kepimpinan penting pihak berkuasa imigresen dalam memacu kerjasama serantau, memperkukuh rangka kerja perkongsian maklumat, dan memanfaatkan platform seperti Penyelesaian Pertukaran Data untuk Menangani Penyeludupan (DESC).

“DESC dibangunkan untuk menyediakan data yang diperlukan bagi respons yang terkoordinasi mengikut laluan sebagai usaha menggagalkan rangkaian penyeludupan migran," katanya dalam kenyataan bersama JIM dan IOM hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan mesyuarat terbabit diadakan secara hibrid dengan kerjasama IOM, 13 negara anggota serta 11 negara pemerhati.

“Program dua hari itu menghimpunkan lebih 100 delegasi termasuk daripada pihak imigresen, badan penguat kuasa dan pertubuhan antarabangsa yang bermatlamat memperkukuh tindakan bersama dalam memerangi jenayah terancang transnasional, dengan memberi tumpuan kepada penyeludupan migran melalui penipuan dokumen perjalanan dan migrasi tidak teratur," katanya.

Hasil utama mesyuarat antaranya pengesahan rasmi dua negara anggota baharu ANDEX iaitu Kazakhstan dan Mongolia, sekali gus mencerminkan peningkatan keterangkuman rangkaian berkenaan dan kepentingannya di peringkat serantau.

“Kedua-dua negara berkenaan diiktiraf atas sumbangan mereka dalam perkongsian maklumat dan komitmen terhadap kerjasama dalam tadbir urus sempadan.

“Selain itu, delegasi turut dijemput melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi memerhati amalan pemeriksaan dokumen Malaysia. Lawatan itu bertujuan meningkatkan pembelajaran menerusi pendedahan amali terhadap operasi imigresen," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pekerja Asing JIM Ayub Abd Rahman yang juga Pengerusi ANDEX menekankan komitmen Malaysia dalam mendukung rangkaian ANDEX.

“Marilah kita terus memanfaatkan mesyuarat ini dan menzahirkan perbincangan kita kepada tindakan yang konkrit di peringkat negara dan serantau. Malaysia kekal bertekad untuk menyokong pertukaran maklumat dan pembinaan kapasiti demi melindungi sempadan serta rakyat kita," katanya.

Ditubuhkan pada 2013, ANDEX ialah sebuah forum yang dipimpin oleh negara, bersifat tidak mengikat, dan diselaraskan oleh Pejabat Serantau IOM bagi Asia dan Pasifik.

Ia menghimpunkan pakar pemeriksaan dokumen perjalanan dari seluruh Asia dan Pasifik untuk bertukar maklumat, mengenal pasti trend, dan memperkukuh kapasiti teknikal dalam usaha memerangi migrasi tidak teratur dan penipuan identiti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan