WILAYAH - TENGAH > BERITA

MALAYSIA CATAT KEMAJUAN KETARA DALAM KEBAJIKAN DAH HAK PEKERJA - SIM

13/05/2025 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia mencatat kemajuan ketara dalam memperkukuh kebajikan dan hak pekerja sepanjang tahun lepas, dengan kadar pengangguran negara menurun kepada paras terendah dalam tempoh 10 tahun, iaitu 3.1 peratus, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Bercakap pada Mesyuarat Menteri Sumber Manusia APEC (HRDMM) di Jeju, Korea, Sim menekankan beberapa pembaharuan utama termasuk kenaikan 13 peratus gaji minimum negara dan peningkatan 20 peratus dalam faedah keselamatan sosial untuk pekerja.

"Kami telah meluaskan perlindungan keselamatan sosial – yang sebelum ini hanya dinikmati warganegara – kepada pekerja asing, menggubal Konvensyen ILO 155 (Pertubuhan Buruh Antarabangsa) mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan selepas 43 tahun, mengurangkan sekatan terdahulu terhadap penubuhan kesatuan sekerja dan memperuntukkan hingga RM10 bilion bagi pelbagai skim berkaitan pendidikan dan latihan," katanya.

Beliau berkata lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja dan suri rumah turut dilindungi di bawah insurans keselamatan sosial untuk kerja penjagaan di rumah. Buat kali pertama, gaji median melepasi paras RM3,000, menandakan pencapaian besar dalam pertumbuhan gaji di negara ini.

"Ia kemajuan yang sangat penting bagi kami, kerana kebajikan pekerja ialah komponen utama yang tidak boleh dikompromi dalam kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai konteks pascapandemik, Sim berkata krisis COVID-19 menekankan kepentingan kehidupan dan mata pencarian, dengan prinsip panduan bahawa "tiada sesiapa yang selamat sehingga semua orang selamat".

" … Saya ingin mencadangkan supaya pengajaran ini menjadi kerangka perbincangan kita, bahawa kebajikan pekerja tidak boleh dirunding, dan kita hanya boleh berjaya sekiranya kita bekerjasama," katanya.

Sim turut berkongsi hasratnya untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pekerja Gig pada persidangan Parlimen akan datang, yang bertujuan menyediakan perlindungan lebih baik dan pengiktirafan kepada pekerja dalam ekonomi gig.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke HRDMM di Jeju, yang diadakan buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun. Mesyuarat pertama berlangsung di Vietnam pada 2014.

Mesyuarat menteri ini adalah sebahagian daripada Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang lebih luas dan membawa tema "Kemampanan Pasaran Buruh dan Pekerjaan Masa Depan".

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan