WILAYAH - SABAH > BERITA

PENUBUHAN MAJLIS PENASIHAT BURUH SABAH PLATFORM LINDUNGI HAK PEKERJA

13/05/2025 02:39 PM

KOTA KINABALU, 13 Mei (Bernama) -- Penubuhan Majlis Penasihat Buruh Sabah (SLAC) akan menjadi platform untuk melindungi hak pekerja serta mengharmonikan hubungan antara kerajaan, majikan dan pekerja di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata SLAC akan memastikan hak serta kebajikan pekerja di Sabah terjaga dan terbela di samping membantu majikan menjalankan perniagaan dengan lebih tersusun.

Beliau berharap penubuhan SLAC akan menjadi satu platform antara majikan dan pekerja untuk berkongsi pandangan, memberi cadangan berkaitan perkara perburuhan kepada kerajaan agar dasar serta perundangan yang lebih sesuai dengan perindustrian negeri Sabah dapat diterjemah. 

"Kerjasama antara kerajaan, majikan dan pekerja amat penting dalam pembentukan SLAC bagi memastikan Agenda Pekerjaan Bermaruah sebagai aspirasi utama Pertubuhan Buruh Antarabangsa dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya pada majlis pelantikan ahli tetap SLAC dan mesyuarat pertama majlis penasihat itu di sini, yang dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif.

Hajiji berharap pelantikan ahli majlis seramai 16 orang masing-masing daripada wakil kerajaan, persatuan majikan dan kesatuan pekerja dapat memainkan peranan dan memberi input yang berharga kepada kerajaan demi pembangunan ekonomi Sabah.

Selain itu SLAC juga berperanan memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri serta Kementerian Sumber Manusia.

Ketua Menteri berkata ia akan memastikan isu berkaitan seperti pembasmian buruh paksa, diskriminasi di tempat kerja dan gangguan seksual, perlindungan wanita dan kanak-kanak, pengurusan pekerja bukan pemastautin, waktu kerja fleksibel, perumahan dan penginapan serta kemudahan pekerja, dapat terus diperkasa.

Beliau berkata perbincangan tiga pihak antara kerajaan, majikan dan pekerja selaras dengan  Konvensyen Standard Buruh Antarabangsa Perundingan Tiga Pihak 1976 No.144.

Hajiji berkata tahun lepas Jabatan Tenaga Kerja Sabah telah melaksanakan aktiviti penguatkuasaan melalui Pemeriksaan Berkanun, Siasatan Aduan dan Pengendalian Kes Mahkamah Buruh yang telah memberi manfaat kepada 13,487 pekerja melibatkan jumlah sebanyak RM22.2 juta.

Beliau berkata undang-undang buruh bukanlah satu bentuk tekanan terhadap majikan tetapi satu mekanisme untuk memastikan kelangsungan dan keharmonian dalam hubungan pekerjaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan