WILAYAH - SARAWAK > BERITA

‘SABAH FIRST’ HARUS DIJAYAKAN MENERUSI HUBUNGAN BAIK KERAJAAN PERSEKUTUAN, NEGERI

13/05/2025 09:17 PM

KOTA KINABALU, 13 Mei (Bernama) -- Polisi meletakkan kepentingan dan keperluan Sabah sebagai utama atau 'Sabah First' harus dijayakan menerusi hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan negeri secara perundingan bijaksana.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup dalam kenyataan bersama berkata merealisasikan polisi itu memerlukan kerjasama semua parti politik tempatan dan konfrontasi dengan kerajaan Persekutuan bukan cara yang betul dalam melaksanakannya.

Menurut kenyataan itu, UPKO dan PBRS yang menganggotai gabungan politik kebangsaan ketika ini merupakan ‘jambatan Sabah di Putrajaya’ dan memainkan peranan konsisten dengan parti lain dalam memperjuangkan isu-isu menjadi keprihatinan utama di Sabah termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“UPKO dan PBRS akan terus menyumbang kepada perpaduan rakyat Sabah serta pada masa yang sama ingin menyumbang kepada kesatuan rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

UPKO merupakan antara parti komponen Pakatan Harapan manakala PBRS adalah parti komponen Barisan Nasional.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala Arthur yang merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata usaha kedua-dua parti melalui platform gabungan masing-masing telah membuahkan hasil apabila sembilan tuntutan di bawah MA63 berjaya diselesaikan Kerajaan MADANI selain empat tuntutan yang telah diselesaikan kerajaan terdahulu.

Menurut kenyataan itu, UPKO dan PBRS akan terus memperjuangkan baki tuntutan MA63 serta keperluan pembangunan 'Sabah First' dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).

Kedua-dua parti juga berpendapat aspirasi tempatan perlu menjadi asas kepada sebarang perundingan gabungan politik di Sabah menjelang pilihan raya negeri akan datang.

“Aspirasi tempatan penting kepada gabungan besar politik menghadapi pilihan raya negeri tanpa menjejaskan kestabilan politik dan keharmonian rakyat yang diperlukan untuk membangunkan masa depan Sabah dan menjadikan Persekutuan Malaysia lebih baik,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan