WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAJIKAN GAJI PEMANDU DENGAN REKOD KESALAHAN BERULANG PERLU DIKENAKAN HUKUMAN BERAT

13/05/2025 08:54 PM

Oleh Siti Baaqiah Mamat dan Ahmad Idzwan Arzmi

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Majikan atau syarikat yang membenarkan individu dengan rekod jenayah atau kesalahan jalan raya berulang terus menjadi pemandu perlu dikenakan hukuman dan denda berat.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata tindakan tegas penting bagi menggalakkan majikan menjalankan saringan serta tapisan latar belakang lebih ketat sebelum mengambil pemandu khususnya bagi kenderaan berat seperti bas dan lori.

“Majikan tidak boleh sewenang-wenangnya menggaji pemandu tanpa saringan. Sekiranya didapati lalai dan kemudian pemandu terlibat dalam insiden serius, majikan boleh dikenakan penalti berbentuk denda kewangan atau jika melibatkan kecuaian melampau, tindakan penjara lebih wajar dikenakan.

“Secara dasarnya, majikan tidak boleh ambil sikap sambil lewa semata-mata demi keuntungan sekali gus mengabaikan aspek keselamatan pengguna di jalan raya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden pagi tadi yang menyaksikan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan trak FRU dan sebuah lori di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak. 

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata pemandu lori berusia 45 tahun yang ditahan didapati memiliki enam rekod jenayah termasuk berkaitan narkotik.

Law turut mempersoal sama ada syarikat terbabit menghantar kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan.

Beliau berkata ini kerana siasatan awal mendapati lori berkenaan mengalami kerosakan yang menyebabkan sistem steringnya tidak berfungsi dan perkara itu tidak mungkin berlaku jika ia menjalani pemeriksaan secara berkala. 

“Isu penguatkuasaan telah lama dibangkitkan namun tindakan tegas hanya dilihat selepas berlakunya kemalangan atau kejadian serius dan ini menimbulkan persoalan sama ada pendekatan pencegahan sahaja tidak memadai sebaliknya hukuman berat seperti denda minimum RM50,000 atau penjara lebih 10 tahun perlu dikenakan bagi memastikan majikan takut dan tidak ambil mudah,” katanya.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye pula menyarankan kerajaan agar menjalankan audit ke atas kenderaan milik pasukan keselamatan bagi memastikan ia lengkap dengan ciri keselamatan bagi mengelakkan insiden serupa berulang.

Beliau berkata walaupun trak FRU digunakan dalam pelbagai operasi namun kebanyakannya tidak dilengkapi ciri keselamatan asas seperti tali pinggang keledar atau sistem perlindungan penumpang.

“Apabila berlaku kemalangan, anggota yang berada di belakang trak mudah tercampak keluar atau berlanggar sesama sendiri. Ini boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian. Malangnya, mereka langsung tiada perlindungan," katanya.

Lee berkata sudah tiba masanya kerajaan dan pihak berkuasa keselamatan melihat isu ini secara serius serta merombak semula spesifikasi kenderaan operasi berat demi keselamatan semua anggota di lapangan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia Ahmad Fakhrul Anuar Ismail meminta Polis Diraja Malaysia mengkaji semula kesesuaian penggunaan trak FRU dalam membawa anggota untuk perjalanan jauh.

“Aspek kejuruteraan, keselesaan, keselamatan dan keperluan ergonomik harus dipertimbangkan semula agar tidak mengorbankan keselamatan anggota keselamatan sendiri dalam melaksanakan tugas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata sudah tiba masanya pelantikan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dijadikan mandatori bagi semua syarikat pengangkutan termasuk sektor logistik serta pengangkutan awam.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Seri Ayub Yaakob pula meminta siasatan menyeluruh serta terperinci dilaksanakan dan sekiranya terdapat unsur kecuaian atau pelanggaran undang-undang, pihak bertanggungjawab mestilah dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan