GEORGE TOWN, 10 Mei (Bernama) -- Seorang wanita warga emas kerugian RM680,000 selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pesara syarikat swasta berusia 60 tahun itu membuat laporan polis selepas diperdaya oleh aplikasi pelaburan dalam talian ‘Silver Peak Capital’.
“Menurut mangsa pada awal Februari lepas beliau telah melihat satu iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham melalui aplikasi Facebook dan mula berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.
“Wanita itu memaklumkan pelaburan itu menjanjikan pulangan keuntungan antara 10 hingga 20 peratus daripada modal yang dilaburkan dalam tempoh yang singkat sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata mangsa yang berminat untuk menyertai pelaburan tersebut telah diminta untuk memuat turun aplikasi ‘Silver Peak Cp’ dan mendaftar keahlian sebelum melakukan tujuh transaksi ke lima akaun bank berbeza berjumlah RM680,000.
Beliau berkata wanita itu hanya menyedari ditipu apabila kehabisan wang dan masih diminta untuk membuat komisen kepada syarikat tersebut yang kononnya bagi tujuan mengeluarkan keuntungan sebanyak RM11 juta seperti yang dipaparkan dalam aplikasi terbabit.
“Mangsa tampil membuat laporan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket itu. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu,” katanya.
Sehubungan itu, Hamzah mengingatkan bahawa penyertaan dalam mana-mana skim pelaburan khususnya yang ditawarkan secara dalam talian adalah sangat berisiko dan orang ramai dinasihatkan menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial