SUKAN > BERITA

RAKYAT SABAH DISERU JADI DUTA PROMOSI BUDAYA NEGERI

10/05/2025 10:17 PM

MELAKA, 10 Mei (Bernama) -- Rakyat Sabah yang berada di luar negeri diseru menjadi duta mempromosikan keindahan dan warisan Negeri di Bawah Bayu itu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata 'Sabahan' boleh membantu mempromosikan negeri itu dengan berkongsi cerita, makanan selain memperkenalkan tarian dan pakaian tradisionalnya.

"Setiap kali kita berkongsi sesuatu tentang Sabah, ia satu bentuk promosi yang bernilai," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu beliau merasmikan Festival Kaamatan 2025 anjuran Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) cawangan Melaka di Dewan Boon Leong, SMJK Tinggi Cina, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Pengerusi Majlis Belia KDCA Steve Johnny Mositun.

Joniston turut menggesa warga Sabah agar menerapkan semangat 'Sabahku, Tanggungjawabku, Kebanggaanku' memandangkan semakin banyak sambutan Kaamatan diadakan di luar negeri itu di bawah tema inklusif 'Kaamatan untuk Semua'.

Beliau berkata Festival Kaamatan juga merupakan platform untuk mempromosikan pelancongan domestik dan pemahaman budaya.

Sabah katanya merekodkan 3.14 juta ketibaan pelancong tahun lepas dan lebih 923,000 orang pada suku pertama 2025.

Beliau berkata Sabah mempergiat usaha sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan mengetengahkan pelancongan berasaskan komuniti, pakej mesra keluarga dan destinasi luar bandar yang mampan.

“Fokus kami kekal pada Budaya, Pengembaraan dan Alam Semula Jadi sebagai tonggak sebenar pelancongan Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KDCA Melaka Scholistika Chin berkata sambutan Kaamatan menunjukkan komitmen mereka untuk memelihara dan berkongsi warisan Sabah. 

“Acara itu menampilkan persembahan kebudayaan, pameran makanan dan pertandingan Unduk Ngadau,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan