WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OP PINTAS MEGA: 85 INDIVIDU DISELAMAT, 175 DITAHAN DALAM OPERASI SELURUH NEGARA

09/05/2025 07:16 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan 85 individu termasuk warga asing dipercayai mangsa pemerdagangan manusia dalam Op Pintas Mega di seluruh negara semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mereka terdiri daripada 58 lelaki, 10 wanita,16 kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata antara yang diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 itu adalah rakyat asing yang terdiri daripada warga Filipina, Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar.

“Kebanyakan mereka disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi buruh paksa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata dalam operasi berkenaan pihaknya turut menahan 175 individu, termasuk warga asing dari Thailand, India, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Filipina, Myanmar, Nepal dan China.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 12 & 14 Akta Atipsom 2007, Seksyen 55b, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau berkata operasi bersepadu itu melibatkan 14 kontinjen polis seluruh negara dan turut disertai Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan