WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PMR 2025 SABAH: PENGUNJUNG SERBU PROGRAM PERTUKARAN TOPI KELEDAR PERCUMA

09/05/2025 02:38 PM

TAWAU, 9 Mei (Bernama) -- Reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini, yang menawarkan program pertukaran topi keledar secara percuma, diserbu pengunjung sejak pagi tadi.

Biarpun proses penebusan hanya bermula kira-kira 9 pagi, orang ramai dilihat sudah mula beratur panjang membawa topi keledar masing-masing untuk ditukarkan dengan yang baharu seawal pukul 7.30 pagi.

Aslina Alias, 33, berkata dia tidak kisah menunggu lebih awal bagi memastikan dia tidak terlepas peluang mendapatkan topi keledar baharu secara percuma.

"Program ini amat bagus, apabila tahu tentang program pertukaran topi keledar ini dalam media sosial, saya terus rancang dan mengajak rakan lain untuk hadir memanfaatkan inisiatif kerajaan ini," katanya.

Pengunjung dari Kampung Tanjung Batu Laut, di sini Sabarudin Zainudin, 58, pula menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan kerajaan menawarkan pertukaran topi keledar secara percuma pada PMR 2025 Sabah.

“Terima kasih kerajaan, saya bersyukur kerana dapat menukar topi keledar lama yang sudah buruk dan mungkin tidak lagi selamat digunakan ini dengan yang baharu dan disahkan selamat kerana mempunyai cap SIRIM,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kanan, Pengurusan Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Sabah Azman Poji berkata sebanyak 3,100 topi keledar dewasa disediakan untuk program pertukaran itu sepanjang tiga hari penganjuran PMR 2025 Sabah yang bermula pada hari ini.

Beliau berkata 300 topi keledar kanak-kanak juga akan diedarkan secara percuma sepanjang tempoh berkenaan. 

“Bagi topi keledar dewasa, kita akan edar sebanyak 800 pada hari ini dan esok manakala 1,500 lagi diedarkan pada hari terakhir (Ahad) bersempena dengan kehadiran Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) manakala saiz kanak-kanak kita peruntukkan 100 unit setiap hari.

“Program ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia, bawa kad pengenalan anda untuk pengesahan bersama topi keledar lama untuk ditukarkan. Bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke atas, cukup sekadar penjaga menunjukkan MyKid anak-anak mereka dan kita akan beri terus topi keledar baharu,” katanya.

Azman berkata selain pertukaran topi keledar, reruai JPJ pada program kali ini juga menawarkan perkhidmatan semakan dan pembayaran saman.

Bertemakan “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan”, PMR 2025 Sabah merupakan usaha kerajaan menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi selaku Kementerian Peneraju dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai tuan rumah untuk membawa perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan