WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDEKS HARGA PENGELUAR PERKHIDMATAN NAIK 0.6 PERATUS PADA SUKU PERTAMA 2025 - DOSM

08/05/2025 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Indeks harga pengeluar perkhidmatan (IHPRP) Malaysia meningkat 0.6 peratus pada suku pertama 2025 berbanding 0.5 peratus pada suku keempat 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks kesenian, hiburan dan rekreasi naik 6.6 peratus daripada 6.1 peratus pada suku tahun sebelumnya, dipacu oleh aktiviti hiburan dan rekreasi lain yang mewakili 2.1 peratus.

"Indeks penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman terus menokok sebanyak 3.6 peratus (suku keempat 2024: 3.1 peratus), dipacu oleh peningkatan indeks restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (4.0 peratus) selain aktiviti perkhidmatan minuman (3.1 peratus).

"Indeks lain yang mencatatkan kenaikan iaitu pendidikan (1.2 peratus), kesihatan (0.6 peratus), profesional (0.5 peratus) dan aktiviti hartanah (0.1 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Uzir indeks pengangkutan mencatatkan penurunan iaitu 3.1 peratus (suku keempat 2024: -2.4 peratus), disebabkan terutamanya oleh indeks pengangkutan penumpang udara (-12.4 peratus).

"Selain itu, indeks maklumat dan komunikasi juga merekodkan penurunan 0.2 peratus, dipengaruhi oleh penyusutan aktiviti telekomunikasi tanpa wayar (-0.1 peratus)," katanya.

Dalam pada itu, pada asas suku tahunan, IHPRP meningkat 0.3 peratus, mengekalkan kadar yang sama seperti suku tahun sebelumnya.

Kata Mohd Uzir, peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh indeks penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman sebanyak 1.0 peratus diikuti indeks pendidikan dan kesenian serta hiburan dan rekreasi iaitu masing-masing mencatatkan pertambahan 0.7 peratus.

"Selain itu, indeks lain yang menunjukkan kenaikan adalah aktiviti hartanah (0.4 peratus), kesihatan (0.3 peratus), profesional (0.2 peratus) dan pengangkutan (0.1 peratus).

"Manakala indeks maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan