KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Institut Agro-Bioteknologi Malaysia (ABI) berjaya membangunkan formula baharu untuk patty burger berasaskan cendawan tiram kelabu sebagai alternatif kepada mereka yang ingin menikmati burger tanpa menggunakan daging haiwan.
Saintis Jabatan Bioteknologi Makanan ABI Nor Fazila Sulaiman yang mencipta formula berkenaan berkata ilham itu tercetus apabila beliau mendapati produk hiliran daripada tumbuhan itu atau nama saintifiknya Pleurotus sajor-caju masih kurang, sedangkan bekalannya mudah diperoleh di Malaysia dan paling banyak ditanam secara komersial.
“Patty burger ini sesuai sebagai alternatif kepada burger ayam atau daging yang mengandungi kandungan lemak dan kolesterol yang tinggi.
“Ia juga sesuai untuk golongan vegetarian selain harganya yang lebih murah,” katanya ketika ditemui Bernama pada persidangan antarabangsa ketiga Persatuan Virologi Dunia 2025 di ibu negara baru-baru ini.
Nor Fazila berkata, burger cendawan itu bukan sekadar alternatif vegetarian, tetapi menawarkan kandungan serat makanan yang lebih tinggi berbanding daging ayam atau lembu, sekali gus sesuai untuk individu yang mempunyai masalah alahan telur, kacang soya dan daging atau yang mengamalkan diet rendah lemak dan bebas gluten.
Selain itu, beliau berkata produk berkenaan juga tidak mengandungi telur, soya atau pewarna tiruan, sekali gus menjadikannya pilihan sihat yang sepenuhnya vegan dan halal.
Bagi memastikan ketahanan produk dalam bentuk sejuk beku serta kestabilan struktur tekstur apabila dimasak, kajian dan eksperimen dijalankan selama setahun termasuk menangani isu teknikal utama seperti masalah pembentukan kristal ais akibat kandungan air dalam cendawan yang boleh menyebabkan patty berderai selepas dinyahbeku.
“Saya gunakan bahan penstabil gred makanan untuk menstabilkan struktur patty. Semua proses yang saya guna adalah minimum supaya ia mudah diambil alih oleh perusahaan kecil dan sederhana tanpa perlu peralatan mahal,” katanya.
Nor Fazila berkata prototaip produk itu kini telah siap dan stabil untuk penyimpanan sehingga tiga bulan secara beku, sambil memberitahu bersedia membuka peluang kepada syarikat berminat untuk mengambil alih formulasi dan menjalankan pengeluaran komersial.
Beliau berkata menerusi pendekatan saintifik yang teliti serta kesedaran terhadap keperluan pasaran tempatan, inovasi burger cendawan ini dilihat sebagai satu langkah besar ke arah menangani isu sekuriti makanan serta menjadikan makanan sihat, lebih mampu milik dan inklusif untuk rakyat Malaysia.
ABI adalah satu daripada tiga institut teras di bawah Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia dan ia beroperasi sebagai agensi penyelidikan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial