WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM SIASAT TAN SRI DISYAKI TERLIBAT PENGUBAHAN WANG HARAM LEBIH RM500 JUTA

08/05/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram membabitkan pemilikan saham sebuah syarikat minyak dan gas bernilai lebih RM500 juta.

Menurut sumber, siasatan turut menjurus kepada unsur rasuah membabitkan beberapa pelaburan selepas penggabungan dua anak syarikat syarikat terbabit.

“Siasatan dan pengeledahan telah dijalankan di beberapa lokasi iaitu pejabat syarikat berkenaan serta kediamannya (Tan Sri) di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Tan Sri terbabit telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM untuk rakaman percakapan pada 5 dan 6 Mei lepas bagi membantu siasatan dan tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat hari ini,” katanya hari ini.

Sumber juga memaklumkan siasatan sedang mengenal pasti kesalahan pecah amanah, salah guna dana dan pemalsuan di bawah Kanun Keseksaan.

Katanya fokus siasatan adalah menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, iaitu kesalahan salah guna kuasa dalam isu ganjaran (gaji, bonus dan syer), yuran penjenamaan dan penempatan persendirian dari tahun 2012 hingga 2021.

“Sebanyak 83 akaun bank milik lima individu dan 15 syarikat melibatkan nilai kira-kira RM158.26 juta telah dibekukan susulan siasatan ini, selain tindakan penyiasatan tadbir urus juga akan dijalankan,” kata sumber berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan