JAKARTA, 7 Mei (Bernama) -- Seramai 11 orang maut manakala enam lagi cedera selepas sebuah lori berlanggar dengan van penumpang di wilayah Jawa Tengah, Indonesia, menurut pihak polis.
Kejadian berlaku tengah hari Rabu di laluan berselekoh tajam antara daerah Purworejo dan Menggelang, kawasan yang terkenal dengan jalan yang curam dan berbahaya.
“Insiden disyaki berpunca daripada keadaan jalan berbahaya, terutama jika kenderaan atau pemandu tidak berada dalam keadaan optimum,” kata Ketua Polis Daerah Purworejo, Ajudan Besar (AKBP) Andry Agustiano.
Bercakap kepada program Breaking News Metro TV, beliau berkata lori terbabit menuruni cerun dari arah Magelang menuju Purworejo sebelum dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong van terbabit.
Akibatnya, kedua-dua kenderaan terbalik lalu merempuh sebuah rumah di tepi jalan.
“Pasukan penyelamat masih menjalankan operasi bagi mengalihkan lori yang terbalik serta memastikan tiada mangsa yang terperangkap,” katanya.
Jumlah sebenar penumpang dalam van masih dalam proses pengesahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial