WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS KEDAH LUPUS LEBIH 14,000 KOMPONEN MOTOSIKAL DIUBAH SUAI

07/05/2025 04:15 PM

ALOR SETAR, 7 Mei (Bernama) -- Polis Kedah merampas dan melupuskan 14,050 komponen motosikal diubah suai dari tahun lepas hingga kes terkini, kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Supt Abdel Nasser S. Salleh.

Beliau berkata komponen itu termasuk ekzos, lengan ayun, enjin, karburetor, ECU, tayar dan pelbagai aksesori lain dengan rampasan tertinggi ialah 6,970 ekzos serta 5,183 lengan ayun yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan. 

“Pelupusan ini telah mendapat arahan daripada mahkamah dan dilakukan dalam beberapa fasa menggunakan jentera penggelek jalan, bagi memastikan aksesori itu tidak boleh digunakan semula,” katanya pada Majlis Pelupusan Barang Rampasan Komponen Motosikal JSPT Kontinjen Kedah Fasa1 Tahun 2025 di sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak mengubah suai motosikal sehingga melanggar peraturan, terutama penggunaan ekzos bising serta enjin yang boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya atau terlibat aktiviti rempit atau samseng jalanan.

“Polis akan terus bertindak tegas terhadap kegiatan rempit dan mengesan pemilik motosikal diubah suai selain melakukan pemeriksaan di bengkel membuat pengubahsuaian secara tidak sah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan