WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA ANGGOTA POLIS DISYAKI MINTA, TERIMA RASUAH DIREMAN SEMINGGU

05/05/2025 03:34 PM

KUALA TERENGGANU, 5 Mei (Bernama) -- Dua anggota polis direman selama tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM5,000 sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan terhadap kes berkaitan aktiviti perjudian serta dadah.

Perintah reman terhadap dua suspek lelaki yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Terengganu itu dikeluarkan Majistret Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas membenarkan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek pertama yang berusia 50-an dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada seorang individu sekitar Ogos tahun lepas sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan aktiviti judi dan narkotik.

“Suspek kedua yang berusia sekitar 40-an pula direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM2,000 sekitar Disember 2022 hingga Mei 2023 agar tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan narkotik juga daripada seorang individu.

"Kedua-dua suspek disyaki menerima suapan secara tunai dan transaksi ke akaun bank masing-masing," katanya.

Mereka ditahan antara 12.30 tengah hari dan 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan