WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMIMPIN DUNIA UCAP TAHNIAH KEPADA LAWRENCE WONG ATAS KEMENANGAN PAP DALAM PRU2025 SINGAPURA

04/05/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Para pemimpin dunia mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong susulan kemenangan besar Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) yang berlangsung pada Sabtu.

Selain itu, mereka turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dua hala dan pelbagai hala bersama Singapura.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio dalam ucapan tahniahnya kepada Wong dan PAP, berkata Amerika Syarikat berhasrat untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan baharu dalam memperkukuh hubungan ekonomi, pertahanan dan keselamatan demi manfaat rakyat di kedua-dua negara dan rantau ini.

“Selama hampir 60 tahun, Amerika Syarikat dan Singapura menjalin hubungan strategik yang kukuh dan berterusan serta komitmen bersama terhadap rantau Indo-Pasifik yang aman, bebas dan makmur,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri India Narendra Modi menerusi hantaran di platform X, turut mengucapkan tahniah kepada Wong atas kemenangan besar itu dan menyatakan harapan untuk terus memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara.

“India dan Singapura berkongsi hubungan yang kukuh dan pelbagai dimensi, diperkukuh oleh hubungan rakyat dengan rakyat yang erat,” katanya.

Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa turut mengucapkan tahniah kepada Wong serta mendoakan kejayaan beliau dan kerajaan baharu Singapura dalam menjalankan mandat mereka.

“Kesatuan Eropah berhasrat untuk terus memperkukuh kerjasama penting ini,” katanya di X.

Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba dalam ucapannya, menyatakan harapan untuk bekerjasama lebih erat dengan Wong menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Jepun dan Singapura tahun depan.

Tidak ketinggalan, Presiden Indonesia Prabowo Subianto turut mengucapkan tahniah kepada pemimpin itu.

“Kemenangan besar ini mencerminkan keyakinan, kestabilan dan kepercayaan rakyat Singapura terhadap kepimpinan Wong dan PAP. Saya percaya kerajaan baharu akan terus memacu kejayaan untuk Singapura,” katanya menerusi platform X.

Prabowo juga menyatakan hasrat untuk memperkukuh lagi hubungan dua hala bersama Singapura di bawah kepimpinan Wong.

Kali terakhir kedua-dua pemimpin itu bertemu ialah pada 6 Nov 2024 di Istana Merdeka, Jakarta – yang juga pertemuan rasmi pertama Prabowo dengan pemimpin asing sejak beliau mengangkat sumpah jawatan pada 20 Okt tahun lalu.

Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon dalam ucapan tahniahnya berkata New Zealand dan Singapura berkongsi hubungan erat dan berkekalan, serta menyatakan harapan untuk meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik dan memperkukuh lagi kerjasama.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Wong atas kejayaan memimpin PAP meraih kemenangan dalam PRU2025.

Anwar berkata kemakmuran dan keselamatan Malaysia dan Singapura tidak dapat dipisahkan, kerana kedua-dua negara bukan sahaja dihubungkan oleh geografi, tetapi juga hubungan kekeluargaan yang erat.

"Ketika kita melihat kepada masa hadapan, kedua-dua negara sedang membina kerjasama mendalam di semua peringkat - satu asas penting dalam menghadapi cabaran besar terhadap sistem global dan perdagangan antarabangsa," kata beliau.

Dalam PRU2025, PAP berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan